SelangorToday

MP SHAH ALAM MAHU KERAJAAN SEGERAKAN SISTEM MAKLUMAT PADI BERAS NEGARA

Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC), Haji Azli Yusof mencadangkan kepada kerajaan untuk menyegerakan pembangunan sistem maklumat yang mengandungi data padi dan beras serta nutrisi tanah di Malaysia. Beliau yang ditemui di lobi Parlimen pagi ini mengulas 8 syor yang dicadangkan oleh PAC setelah laporan PAC berhubung terimaan dan bayaran obligasi sosial perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan(KPKM) pada 2021  dibentangkan di Parlimen.

Dalam laporan PAC tersebut, salah satu syor yang dikemukakan adalah KPKM dan BERNAS perlu segera membangunkan Sistem Maklumat Padi dan Beras serta Pengurusan Profil dan Nutrisi Tanah bagi memastikan keberkesanan penggunaan Sitem Kad Pintas Peswah. Mengulas syor tersebut, Hj Azli berkata, obligasi tersebut melibatkan anggaran kos sebanyak RM20 juta merangkumi penyediaan dan pembangunan sistem maklumat padi beras negara yang merangkumi data nutrisi tanah dan maklumat peribadi pesawah.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan, perkara tersebut merupakan satu perkara penting yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan memandangkan tekad kerajaan untuk menambah produktiviti padi beras negara dengan kaedah mempertingkatkan tuaian padi dari 4 kali tuaian dalam tempoh 2 tahun kepada 5 kali tuaian dalam tempoh 2 tahun.

Oleh itu Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor berkata wajar jika sistem maklumat ini dibangunkan segera bagi melihat data profil tanah, jenis benih padi dan maklumat peribadi pesawah bagi menganjak satu dasar oleh kementerian yang berkesan dan cekap. Tambahnya obligasi ini telah pun mendapat komitmen oleh pihak BERNAS, maka rugi juga pihak kerajaan tidak menyegerakannya. – SelangorToday

Exit mobile version