SelangorToday

MP SHAH ALAM MAHU RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI KLANG DISEGERAKAN

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof mahu projek tebatan banjir Sungai Klang kawasan seri muda merangkumi kerja-kerja fizikal disegerakan. Kata beliau, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan, sebanyak RM140 juta telah diperuntukan kepada Projek Tebatan Banjir Sungai Klang(Sri Muda) awal tahun lalu. Namun baru-baru ini makluman secara bertulis yang beliau terima menyatakan hanya kerja-kerja awal perancangan baru dimulakan. Oleh itu, Hj Azli mahu projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin memandangkan kesan perubahan iklim semakin besar.

Ketika mengukuhkan seruan itu, Hj Azli yang juga Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam menjelaskan pemanasan global dunia semakin meningkatkan apabila kini kadar pemanasan global mencapai 1.1 darjah celsius, jika kadar itu meningkat sehingga 1.5 darjah celsius, 31 hingga 70 juta manusia akan terdedah kepada banjir. Malaysia juga kata Hj Azli tidak terkecuali untuk menerima risiko banjir tersebut. Hj Azli berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2024 memaklumkan sejumlah 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos RM11.8 bilion. Namun dalam perincian tersebut, tidak dinyatakan berapakah peruntukan yang disediakan pada tahun 2024 bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Klang(Sri Muda), soal Hj Azli – SelangorToday

Exit mobile version