KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof hari ini mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan skim perlindungan sosial PERKESO dalam bentuk takaful patuh syariah bagi memenuhi keperluan pencarum Muslim tanpa menjejaskan manfaat sedia ada.
Ketika membahaskan Belanjawan MADANI 2026 bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di peringkat Jawatankuasa, beliau berkata cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan paling ketara berlaku dalam sektor intensif tenaga kerja seperti pembinaan, logistik, perkilangan serta PMKS dan kontraktor kecil — kumpulan yang berisiko tinggi tetapi mempunyai kemampuan terhad untuk mengurus keselamatan.
Azli mempersoalkan sama ada kerajaan sedang meneliti model skim takaful PERKESO, termasuk penyediaan dana risiko khas patuh syariah, penstrukturan semula portfolio pelaburan dan pilihan perlindungan patuh syariah bagi pencarum Muslim. Beliau turut meminta penjelasan mengenai garis masa pelaksanaannya.
Menurutnya, permintaan rakyat terhadap perlindungan sosial yang seiring dengan prinsip syariah semakin meningkat, sama seperti perkembangan dalam industri takaful dan perlindungan perubatan.
Dalam perbahasan sama, Azli turut mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan keselamatan pekerjaan di tapak kerja kecil yang mencatat jumlah kemalangan industri majoriti, termasuk:
Geran mikro keselamatan bernilai RM5,000 hingga RM10,000 kepada PMKS untuk pembelian peralatan keselamatan seperti harness, sensor amaran dan khidmat nasihat keselamatan.
Pemeriksaan kendiri berbentuk aplikasi mudah alih secara mandatori di tapak kerja setiap bulan.
Latihan mikro kredensial keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada kontraktor kecil, termasuk melalui kerjasama dengan CIDB.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah kecil ini mampu memberi impak besar kepada kumpulan pekerja berisiko tinggi yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

