
SHAH ALAM, 13 Jun 2025 – Ahli Parlimen Shah Alam, YB Hj Azli Yusof menyeru seluruh umat Islam agar bersatu mempertahankan akidah dan maruah agama susulan isu kontroversi melibatkan kumpulan Sisters in Islam (SIS), yang kini sedang menunggu keputusan cabaran terhadap fatwa Negeri Selangor di Mahkamah Persekutuan.
Dalam satu kenyataan sempena hari Jumaat yang penuh keberkatan, Hj Azli yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, mengingatkan masyarakat bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 2014 menyatakan fahaman SIS bertentangan dengan ajaran Islam kerana membawa idea liberalisme dan pluralisme agama.
“Fatwa ini telah dicabar di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, tetapi kedua-duanya gagal. Kini cabaran terakhir sedang didengar di Mahkamah Persekutuan, dan keputusan dijangka diumumkan pada 19 Jun 2025, Khamis depan,” katanya.
Hj Azli turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengarahkan masjid dan surau Jumaat di seluruh negeri mengadakan solat hajat selama dua minggu berturut-turut. Usaha ini bertujuan memohon kepada Allah agar keputusan mahkamah memihak kepada kebenaran dan melindungi akidah umat Islam.
“Islam bukan agama yang diukur ikut rasa atau logik semata-mata. Ia berdiri atas wahyu, al-Quran dan sunnah. Bila ada pihak yang cuba putar belit hukum atau kelirukan masyarakat, kita tidak boleh berdiam diri,” jelas beliau.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pendekatan dalam menghadapi cabaran terhadap Islam mesti dilakukan dengan ilmu, hikmah dan akhlak mulia.
“Kita bukan nak menghukum sesiapa, tetapi membimbing dan menyeru kembali ke jalan yang benar dengan nasihat yang baik. Firman Allah dalam al-Quran, ‘Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik’,” katanya lagi.
Hj Azli turut menekankan bahawa isu ini bukan bersifat politik atau peribadi, sebaliknya melibatkan soal akidah dan kehormatan Islam di negara ini.
“Moga Allah memberi kemenangan kepada kebenaran dan dalam masa yang sama kita terus berdakwah dan memberi kefahaman kepada masyarakat agar tidak terpedaya dengan fahaman yang memesongkan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini bakal menjadi titik penting dalam menentukan kedudukan fatwa tersebut serta sejauh mana kuasa negeri dalam menjaga hal ehwal agama Islam di Malaysia