Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof diberikan tanggungjawab mewakili Parlimen Shah Alam ke Mesyuarat ‘ASEAN Inter-Parlimentary Assembly’ (AIPA) di Jakarta dua minggu lalu. Sepanjang dua hari di sana, Hj Azli terlibat dalam pelbagai agenda yang dibincangkan melibatkan semua wakil negara-negara ASEAN termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia selaku tuan rumah.
Melalui catatan di laman sosial media beliau, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu terlibat dalam perbincangan berkenaan ‘Task Force on The Establishment of Digital Law Library’. Penjelasan beliau, penubuhan Digital Law Library tepat pada masanya dan sesuai dengan perkembangan teknologi digital yang bergerak pantas. Bagi Hj Azli, usaha tersebut penting untuk mempromosikan keseragaman undang-undang dan ketelusan Parlimen di kalangan negara-negara ASEAN, khususnya kepada pihak yang mendokong pelaksanaan visi ASEAN. Tambah beliau lagi, Digital Law Library membolehkan dokumen dan maklumat berkaitan undang-undang dan peraturan di kalangan negara ASEAN disimpan secara sistematik dan terbuka kepada umum.
Peroleh masa yang sedikit lapang, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah itu sempat mencuba perkhidmatan Kereta Cepat Jakarta-Bandung(High Speen Rail). Perjalanan beliau memngambil masa hanya 45 minit sahaja yang menjimatkan masa berbanding perjalanan dengan kereta yang mengambil masa purata 3 jam. Harga tiket bagi laluan sehala pula berharga RM75 bila ditukarkan ke dalam nilai Ringgit. Kata Hj Azli kewujudan perkhidmatan tersebut jelas sekali memberi penjimatan, cepat dan hebat buat pengguna. – SelangorToday