SelangorToday

MTOS KOMITED JADIKAN SELANGOR NEGERI MESRA OKU TERBAIK – DANIAL

Majlis Tindakan OKU Selangor(MTOS) komited dalam memastikan Negeri Selangor akan membentuk pelbagai dasar yang mesra OKU. Kata Pengerusinya, Danial Al-Rashid Harun berkata usaha itu sedang digiatkan antara MTOS dan Kerajaan Negeri dibawah Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari. Tambah Danial, MTOS akan menjadi suara yang mewakili golongan OKU kepada kerajaan Selangor untuk membentuk dasar mesra OKU yang terbaik.

Baru-baru ini melalui posting yang dimuat naik oleh Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu, MTOS baru selesai mengadakan sanggar kerjanya di Lumut Perak serta telah pun mengadakan sesi Townhall MTOS pada 16 Mei lalu di Shah Alam. Dalam sanggar kerja tersebut, ahli dalam MTOS dan panel jemputan yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam isu OKU membentuk pelbagai resolusi berkaitan mesra OKU. Resolusi tersebut akan dijadikan panduan oleh pihak Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor untuk merangka deraf Dasar Mesra OKU Selangor.

Selain itu, dalam sesi Townhall yang lalu, beberapa aspek diberikan penekanan termasuk rancangan dan pelan tindakan MTOS bagi sesi 2024. MTOS akan bertindak sebagai tonggak pembikin kertas Dasar Mesra OKU Selangor, menumpukan kepada pindaan akta berkaitan OKU selain membawa suara OKU di Dewan Negeri Selangor.

Harapan Danial yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga, usaha yang sedang dibuat oleh MTOS dan Kerajaan Negeri ini wajar mendapat sokongan masyarakat. Kebersamaan masyarakat bersama dasar mesra OKU ini mampu melengkapkan Negeri Selangor sebagai negeri yang inklusif dan peduli kepada semua pihak. Danial bersyukur atas komitmen kerajaan perpaduan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dalam mengangkat darjat golongan OKU. – SelangorToday

Exit mobile version