SelangorToday

MUDA SILA KELUAR  KERAJAAN PERPADUAN ATAU UBAH SIKAP – DANIAL AL-RASHID

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Harun memberi kata dua kepada kepimpinan MUDA sama ada terus keluar daripada Kerajaan Perpaduan atau mengubah sikap mereka jika mahu terus bersama Kerajaan Perpaduan. Kata Danial, tindakan MUDA membuat ugutan kepada Kerajaan Perpaduan merupakan langkah paling dangkal yang dilakukan sedangkan MUDA merupakan parti yang baru ditubuhkan serta masih kecil. Tambahan pula, jelas dalam PRN Johor dan PRU ke-15, MUDA memenangi 2 kerusi yang ditandingi setelah HARAPAN memberikan laluan kepada mereka. Sebaliknya semasa MUDA bertindak untuk bertanding solo di Pilihan Raya 6 Negeri, MUDA gagal mendapat sebarang kerusi malah hilang wang pertaruhan.

Danial yang juga ADN Batu Tiga berkata, setiap parti politik mempunyai peranan masing-masing dalam kelangsungan demokrasi di Malaysia termasuk pembentukan Kerajaan Perpaduan. Ia jelas apabila penggabungan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bermatlamat untuk membentuk kerajaan yang stabil demi memacu kemajuan yang lebih cepat serta mengembalikan keharmonian dalam negara. Danial berharap MUDA mempertimbangkan semula ugutan tersebut dengan mengambil kira semua matlamat pembentukan Kerajaan Perpaduan. Dengan kedudukan MUDA hanya 1 kerusi di Peringkat Persekutuan, maka wajar MUDA melakukan tindakan bijak dengan bersama Kerajaan Perpaduan jika mereka ikhlas mahu melihat Malaysia menuju pembangunan yang lebih baik.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional itu juga bertegas bahawa dengan tindakan ugutan keluar Kerajaan Perpaduan oleh MUDA, sama sekali tidak membantu matlamat sebenar yang dijaja oleh MUDA. Ia juga akan meninggalkan MUDA duduk paling belakang dalam politik arus perdana. Akhirnya, Danial menyatakan jika MUDA kekalkan juga ingin keluar Kerajaan Perpaduan, Danial tidak melarang dan mempersilakan tindakan tersebut.  – Selangor Today

Exit mobile version