Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa mana-mana pihak yang mendakwa wujud krisis politik membabitkan jawatan Menteri Besar Perlis akibat isu projek supaya tampil memberikan penjelasan yang jelas, spesifik dan bersandarkan fakta.
Beliau berkata, dakwaan kononnya terdapat tekanan ke atas Menteri Besar untuk meluluskan projek tertentu tanpa mematuhi peraturan tidak wajar dibiarkan berlegar tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan imej institusi Raja serta pentadbiran negeri.
Menurutnya, isu berkaitan agama dan sistem pemerintahan tidak seharusnya dieksploitasi sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Datuk Dr Mohd Asri turut mempersoalkan dakwaan berkenaan apabila tiada perincian dikemukakan mengenai projek yang dimaksudkan, termasuk lokasi dan bentuk tekanan yang didakwa berlaku.
Beliau berkata, perkara itu turut dirujuk kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menegaskan supaya sebarang dakwaan dibuat secara khusus dan jelas bagi mengelakkan salah faham.
“Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut mana-mana individu, ia tetap berpotensi mencetuskan persepsi buruk, termasuk tanggapan bahawa Menteri Besar meletakkan jawatan akibat tekanan untuk meluluskan perkara yang tidak mengikut peraturan.
“Persepsi sebegini amat serius kerana ia seolah-olah menggambarkan wujud pihak yang berkuasa menentukan kedudukan Menteri Besar. Jika ingin menuding jari, ia mesti disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya dalam sesi audiosiar bertajuk Krisis Politik: Antara Agama dan Kuasa.
Pada 25 Disember lalu, Mohd Shukri Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.
Beliau kemudiannya mempersembahkan surat peletakan jawatan tersebut kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada hari yang sama.

