Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng berhubung kenyataan fitnah berkait isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain berkata bekas menteri kewangan itu berjaya membuktikan kesnya terhadap bekas perdana menteri itu berdasarkan keseimbangan kebarangkalian.
“Kenyataan tersebut merendahkan reputasi beliau di mata orang awam,” katanya dalam penghakiman.
Roz Mawar juga memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM50,000 serta menarik balik kenyataan tersebut dan tidak mengulanginya.
Pada 27 Mac tahun lepas, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook melibatkan beliau berhubung isu itu pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang turut mendakwa, kenyataan tersebut membawa maksud, beliau menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary. -FMT