Muhyiddin Yassin tidak perlu ‘mengajar’ Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagaimana memilih perdana menteri ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Agong hendaklah melantik seorang perdana menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Manakala Perkara 40(2)(a) pula memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut budi bicaranya dalam soal pelantikan perdana menteri.
Anda tidak boleh mempersoalkan budi bicara baginda (budi bicara penuh) dan anda juga tidak perlu memberitahu Yang di-Pertuan Agong apa yang perlu baginda lakukan atau bagaimana untuk memilih. Sangat Mudah! katanya di X.
Terdahulu, tular ucapan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah ketika menjadi Agong, sambil mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput menghadap baginda untuk dilantik perdana menteri.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya ketika kempen PRK Nenggiri hanya kenyataan fakta, selain membangkitkan jumlah akuan berkanun (SD) yang didakwanya mencukupi untuk dilantik menubuhkan kerajaan pasca PRU15.
Hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu menyerahkan beberapa dokumen kepada polis termasuk SD daripada 115 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya sebagai perdana menteri.
Siasatan terhadap Muhyiddin dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan 3R (kaum, agama, dan raja). -FMT