SelangorToday

MUHYIDDIN YASSIN PERLU DIAMBIL TINDAKAN, PAS JANGAN MEMBISU

Pengerusi Parti AMANAH Negara, Negeri Pahang, Mohd Fadzli bin Mohd Ramly menegaskan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang memperlekehkan tugas Al-Sultan Abdullah semasa menjadi Yang Dipertuan Agong perlu diambil tindakan. Jelas beliau, sebagai rakyat dan pimpinan parti politik di Negeri Pahang, beliau memandang serius akan perbuatan ini. Perbuatan bekas Perdana Menteri itu ketika berkempen sempena PRK DUN Nenggiri seolah-olah mahu meletakkan Tuanku Al-Sultan Abdullah silap membuat keputusan dan tidak mengikut lunas demokrasi.Sedangkan kronologi peristiwa tersebut yang meletakkan Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri sudah diketahui umum.

Oleh itu, Mohd Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang menggesa tindakan diambil oleh pihak kerajaan kepada Muhyiddin Yassin yang jelas merendahkan Institusi Diraja. Muhyiddin dilihat sangat terdesak mahu menjadi seorang Perdana Menteri sehingga sanggup merendahkan tugas Yang Dipertuan Agong. Justeru tiada seorang pun yang duduk diatas undang-undang negara ini. Maka tindakan undang-undang perlu segera diambil terhadap beliau. Beliau juga menambah, langkah segera wajar diambil kepada Ahli Parlimen Pagoh itu bagi mengelakkan anak-anak muda terpengaruh dengan perbuatan yang menghina Raja-Raja Melayu. 

Beliau turut menegaskan, Parti AMANAH Negara Negeri Pahang sentiasa menjunjung Institusi Diraja dan akan mempertahankannya dari segenap sudut apabila ada pihak yang memperlekehkan Sultan Pahang. Beliau juga menyeru semua parti politik termasuk PAS dan BERSATU mempertahankan Institusi Diraja kerana perbuatan merendahkan Raja-Raja Melayu akan menghakis kedaulatan raja-raja. Langkah berdiam diri yang dilakukan PAS seolah-olah mengiktiraf perbuatan Muhyiddin. Beliau juga menyeru orang ramai untuk mengecam tindakan tersebut dan menolak sebarang politik yang jelas mempertikaikan tugas Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja sebagai Ketua Negeri dan Negara. – SelangorToday

Exit mobile version