SelangorToday

MUJAHID TEMPELAK PEMUDA PAS KELANTAN, TUNGGANG AGAMA TUTUP KELEMAHAN

Timbalan Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa menempelak tindakan Pemuda PAS Kelantan yang memuat naik satu video perbualan antara bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim dan Nik Elin yang menggambarkan seolah-olah AMANAH menyokong penuh tindakan Nik Elin memperlekehkan Enakmen Syariah Negeri Kelantan. Dalam satu ciapan beliau melalui aplikasi X, Mujahid menegaskan bahawa tindakan AMANAH memberikan sokongan kepada Nik Elin bukanlah untuk melemahkan undang-undang syariah di Malaysia, sebaliknya sokongan tersebut merupakan manifestasi pendirian AMANAH yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Dalam satu video yang dimuat naik oleh Pemuda PAS Kelantan melalui aplikasi Tiktok, Nik Elin selaku panelis dalam video tersebut menyatakan bahawa AMANAH menyokong penuh usaha Nik Elin dalam mencabar beberapa peruntukan dalam Enakmen Syariah Negeri Kelantan. Sokongan tersebut digambarkan seolah-olah AMANAH merupakan pihak dibelakang Nik Elin yang bertindak mencabar peruntukan tersebut. Video itu dimuat naik dalam aplikasi Tiktok bagi mengambarkan AMANAH terlibat sama dalam melemahkan undang-undang syariah di Malaysia.

Maka Ahli Dewan Negara mewakili Perak itu menjelaskan, tindakan AMANAH adalah atas prinsip ketertinggian perlembagaan yang perlu difahami semua pihak. Malah Mujahid kesal dengan sikap PAS yang cuba menutupi kelemahan mereka dengan memanipulasikan isu agama serta memburukkan imej AMANAH. Sepatutnya PAS mengambil jalan penyelesaian dengan memperbaiki kelemahan tersebut agar kedua-dua undang-undang syariah dan sivil berjalan tanpa pertindihan kuasa.  – SelangorToday

Exit mobile version