Naib Presiden AMANAH, Dr. Siti Mariah Mahmud menyatakan bahawa muka baharu dalam barisan kepimpinan AMANAH sangat berbakat namun belum dikenali sepenuhnya oleh masyarakat. Oleh itu, muka-muka baharu yang terpilih dalam dalam pemilihan AMANAH yang diadakan hujung minggu lalu perlu menggunakan masa tiga tahun ini untuk menyerlahkan keberadaan mereka dalam arus masyarakat sebelum mengambil alih tampuk kepimpinan sedia ada. Dipetik melalui temuramah bersama akhbar Utusan Malaysia edisi 27 Disember 2023, Dr. Siti Mariah menjelaskan sepanjang tempoh AMANAH ditubuhkan, AMANAH terus diberikan kepercayaan sebagai Kerajaan Persekutuan dan Negeri, akibat permainan politik, tumpuan untuk mempertahankan gabungan dalam kerajaan diutamakan berbanding mempopularkan AMANAH. Ia secara tak langsung merencatkan penerimaan AMANAH kepada masyarakat khususnya orang melayu Islam.
Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Kota Raja dan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu menegaskan dengan terbentuknya kerajaan perpaduan yang membolehkan politik negara berada dalam keadaan stabil, maka beliau mengharapkan masa ini yang perlu digunakan untuk memperkukuhkan AMANAH dalam masyarakat. Mengulas keberadaan UMNO dalam PERPADUAN telah menenggelamkan AMANAH, Dr. Siti Mariah menjelaskan kerjasama itu tetap diperlukan memandangkan AMANAH parti yang lebih junior dan pentingnya berada dalam satu gabungan yang padu dan kuat. Maka UMNO mempunyai sasarannya tersendiri, begitu juga AMANAH perlu memastikan pengundi yang cenderung pada konsep AMANAH akan dikekalkan dalam setiap PRU.
Bekas Exco Negeri Selangor itu menjawab polemik Mohamad Sabu tetap dipilih sebagai Presiden AMANAH meskipun berada dalam kedudukan ke-8 calon Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional yang menang. Kata beliau, AMANAH mempunyai sebilangan pimpinan yang berkaliber namun saling memerlukan. Maka pemilihan Mohamad Sabu sebagai Presiden bagi penggal ke-3 adalah satu strategi mengekalkan keberadaan AMANAH dalam politik semasa. Namun dalam masa yang sama, Dr. Mujahid selaku pimpinan masa depan, akan menggerakkan proses pengukuhkan parti dalam tempoh 3 tahun ini sebelum diberikan peluang memimpin AMANAH oleh perwakilan kelak. – SelangorToday