Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Fadzli Rmly menempelak seorang ADUN dari PAS yang memanggil Fadzli sebagai murtad di Dewan Undangan Negeri Pahang semalam.
Ketika bangun berbahas,Fadzli berkata beliau amat kecewa dengan tindakan ADUN tersebut yang memanggil panggilan tersebut yang menganggap Fadzli seolah-olah telah terkeluar daripada Islam setelah Fadzli meninggalkan PAS dan menyertai Parti AMANAH Negara.
Lalu ketika itu, ADUN Jengka, Shahril Azman Abdul Halim bangkit mempertahankan tindakannya dengan menyatakan panggilan tersebut dianggap sebagai gurauan kepada Fadzli kerana meninggalkan PAS.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan ADUN Jengka, Fadzli yang dilantik menjadi ADUN Pahang beberapa bulan yang lalu membacakan petikan sebuah kitab yang ditulis oleh ulamak bahasa yang menyatakan istilah ‘murtad’ merujuk kepada seseorang Islam secara pilihan dengan Islamnya telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara darurat.
Dalam masa yang sama, Pengerusi AMANAH Pahang itu turut menyatakan bahawa istilah tersebut tidak boleh digunakan sesuka hati apatah lagi dalam bentuk gurauan kerana melalui hadis nabi istilah ‘murtad’ amatlah berat untuk didakwa kepada sesiapa.
“Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir, maka akan kembali (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”
-SelangorToday