SelangorToday

NAFAS HANYA DIGANTUNG, AJP DIHARAP BERSABAR – MAHFUZ

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berharap Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersabar berikutan mereka hanya digantung tugas dan bukan dipecat.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar, berkata mereka cuma digantung, jangan ada kebimbangan apa-apa yang penting mereka terus berhubungan dengan pendaftar, tiada masalah pun untuk itu.

Katanya, individu terbabit dijangka boleh kembali dalam NAFAS selepas pentadbir kembali ‘mengharmonikan’ dan ‘meluruskan’ pengurusan NAFAS.

“Dulu Perlembagaan NAFAS pernah digantung (1 Jun 2018) zaman Datuk Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam tempoh yang beberapa lama, jadi tak timbul benda ini tergesa-gesa dan tak pernah berlaku dan sebagainya, ia pernah berlaku.

“NAFAS akan beroperasi seperti biasa dan saya harap Ahli Lembaga Pengarah yang digantung bersabar,” katanya.

Kelmarin media melaporkan Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS, dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang mengikut Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Amir berkata, ketidakharmonian NAFAS berlaku apabila pihak Jemaah Pengarah membelakangi keputusan pendaftar dengan bertindak sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan media sebelum merujuk kepada pendaftar.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang menyifatkan penggantungan Perlembagaan oleh Amir disebabkan konflik dalaman dan ketidakharmonian sebagai alasan lemah dan sepatutnya berunding terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. –SelangorToday

Exit mobile version