PETALING JAYA, 11 Feb — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melancarkan Pelan Reformasi NAFAS 2026–2030 (NAFAS 2.0) sebagai langkah memperkukuh tatakelola dan memantapkan hala tuju perniagaan, selepas mencatat keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya pada 1972.
Bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing, pelan tersebut menjadi kerangka menyeluruh bagi memperkemas struktur tadbir urus dan operasi perniagaan, sekali gus memulihkan keyakinan warga peladang serta memperkukuh kelestarian institusi.
NAFAS merekodkan keuntungan RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025, berbanding kerugian besar RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023. Pencapaian itu disifatkan sebagai hasil penstrukturan semula menyeluruh yang dimulakan sejak 2023.
Sebagai simbol komitmen terhadap reformasi, dokumen Pelan Reformasi NAFAS 2.0 telah diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Penyerahan tersebut menandakan kesinambungan usaha menyelaras hala tuju NAFAS dengan dasar agromakanan negara serta agenda Keterjaminan Makanan Negara.
Dalam sesi pembentangan kepada menteri berkenaan, Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Mat Amin dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin memaklumkan kemajuan reformasi yang meliputi penambahbaikan pengurusan kewangan, proses perolehan dan pengasingan fungsi pembuat dasar serta pelaksana.
Pelan NAFAS 2.0 memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu tadbir urus dan kepimpinan organisasi; perundangan dan pematuhan; pengurusan perolehan; model perniagaan serta kelestarian kewangan; dan strategi komunikasi serta pemulihan kepercayaan awam.
Dalam perkembangan berkaitan, NAFAS berjaya memperoleh kontrak input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2028. Selain itu, hampir RM1.0 bilion disumbangkan kepada hasil kumpulan menerusi tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan pasaran terbuka.

Langkah agresif turut diambil untuk mengutip bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan. Pada masa sama, rasionalisasi pelaburan dilaksanakan dengan menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta, menjana penjimatan tahunan sekitar RM5 juta.
Dengan kedudukan kewangan yang semakin kukuh, NAFAS kini berada dalam posisi lebih stabil untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah, selaras kapasiti pengeluaran 360,000 metrik tan setahun.
Mohamad berkata reformasi berkenaan bertujuan melindungi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang supaya aset organisasi diurus secara bertanggungjawab dan memberi pulangan adil kepada akar umbi.
Pelaksanaan NAFAS 2.0 dilihat sebagai peralihan daripada fasa pemulihan kepada fasa pengukuhan dan pengembangan, sekali gus mengangkat peranan institusi itu sebagai tonggak penting dalam memperkasa sektor agromakanan negara.