Sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan ahli Peladang Kawasan puluhan tahun; saya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati. Kali ini secara terbuka.
Sesuatu yang ironi di dalam NAFAS, sebagai sebuah organisasi yang menaungi petani, pesawah dan penternak; hidup hayat perniagaannya selepas puluhan tahun adalah bergantung kepada kerajaan. Sepenuhnya.
Hakiki NAFAS ialah ehsan kerajaan, kuota kerajaan, subsidi kerajaan dan hak autonomi dari kerajaan.
Buat baja dan jual baja adalah eksklusif. Tender bekal ayam adalah kuota tetap. Pendek kata modal kerajaan bagi. Pasaran kerajaan sedia. Laluan pembekalan kerajaan hidang. Tanpa persaingan hakiki. Dan ironi, ia rugi. Rakyat di luar berniaga dengan duit sendiri. NAFAS berniaga dengan duit rakyat. Dan boleh rugi. Nakal sebenarnya.
Nasib badan NAFAS tidak banyak beza pun dengan hakiki nasib pesawah dan petani miskin. Cuma gah untuk dilihat konon korporat.
Di pentas perdana dan pasaran terbuka, jika NAFAS perlu bersaing, alamatnya ialah tersembam ke bumi. Tidak mampu berdikari. Anak kecil main api.
Hakiki rakyat, tidak kisah jika kerajaan ingin menjadikan NAFAS punya hak autonomi. Asalkan berjaya dan petani jadi kaya. Atau menyumbang bilion kepada hasil negara. Membuka ribuan peluang kerja. Melahirkan teknorat dan agronomis. Mewujudkan ratusan vendor perniagaan kepada rakyat.
Untuk faham secara perbandingan; seperti negara wujudkan Petronas. Ia juga hak autonomi. Tetapi lihat Petronas. Menjadi sumber hasil puluhan bilion pada kerajaan. Melahirkan ramai teknorat anak bangsa. Mewujudkan banyak rantaian perniagaan besar dan kecil. Membangunkan sumber manusia hingga punya universiti sendiri. Mampu beri biasiswa pelajaran. Perniagaan berorientasikan eksport. Bahkan membangunkan kota pembandaran berpendapatan tinggi.
Ya, saiz ekonomi pastilah berbeza. Antara petroleum dengan padi. Kita tak banding saiz ekonomi. Apa yang ingin dibanding ialah gaya pengurusan dan hala tuju korporat. Dalam hal ini, NAFAS begitu jauh ketinggalan. Hakikinya; ia adalah manifestasi ehsan. Berselindung di balik jerik pekik konon hak petani.
Setelah sekian lama, seekar sawah pun NAFAS tiada. NAFAS tiada pun makmal penghasilan produk baja berorientasi eksport. NAFAS tiada pun kilang jentera sendiri. NAFAS tiada pun kilang benih padi. NAFAS tiada pun lori pengangkutan sendiri untuk pemasaran. Ada pun mungkin tidak sebilangan.
Berniaga ayam rugi. Ternak ayam rugi. Jual jentera rugi. Bina kolej sendiri rugi. Buat pemasaran produk asas tani rugi. Sewakan bangunan rugi. Di sana sini lekat hutang. Nyawa hanya pada kilang baja padi. Itu pun sebab dilindungi. Kalau bersaing terbuka, alamat tersembam di pintu syurga.
Bahkan NAFAS tidak mampu pun memberi biasiswa pelajaran kepada anak pesawah dan petani secara tetap. Di NAFAS, tiada teknorat, saintis dan agronomis. Yang mampu membuat R&D, dan mengembangkan potensi perniagaan tani. Tiada. Usah cari.
Sebab itulah, sudah sampai masa pada reformasi institusi. Bagi yang sudah lama berkulat di dalam, usah mainlah lagu ketuanan. Usah laung ini hak kami. Hak petani.
Hak apa jika petani pesawah kekal miskin. Orang muda makin menjauhi pertanian. Kerjaya pesawah makin hilang legasi. Pertubuhan Peladang di bawah, selepas dibuat pemutihan berapa kerat anak muda yang ada. Kalau ini syarikat perbadanan, sudah tutup lama.
Secara peribadi, saya malu hendak menyebut hak. Sedangkan makin hari, makin rakyat tidak minat pun untuk jadi Ahli Peladang. Bangsa lain selain melayu, sudah tinggal lama institusi ini. Dan mereka kaya dalam pertanian. Mereka tidak jadi pun ahli peladang.
Maka saya ulang..
Kita perlu reformasi institusi di NAFAS. Lawan tetap lawan. Membujur lalu, melintang patah. Menteri Pertanian sekarang ialah sosok yang lahir dari perjuangan di jalanan. Kami peladang muda akan bersama. Kami tidak takut. Fail banyak dengan kami. Jangan cabar berlebihan
Usaha reformasi ini bertujuan untuk menambah baik struktur pentadbiran NAFAS, memastikan ketelusan dalam pengurusan, dan membawa perubahan yang amat diperlukan.
Kami generasi muda mahu petani jadi kaya. Mahu terbilang. Bukan kerjaya cencaru makan petang.
Dengan reformasi ini, kami mahu NAFAS seperti Khazanah Nasional. Seperti Petronas. Setanding Guthrie. Kami mahu NAFAS menjadi Perbadanan Agro Negara.
Kami mahu dividen yang tinggi boleh dibayar terus kepada ahli seperti unit ASB. Kami mahu NAFAS tarikan kepada pelabur untuk berselera melabur. Dan NAFAS melalui permodalan berani melabur kepada perniagaan ahli. Kami sendiri bangga dan berselera untuk letak duit di sini. Memajukan kami para peladang.
Ke depan waktu, Kami peladang muda mahu; kami tidak malu menjadi petani. Dan kami tidak malu menyebut, kami Ahli Pertubuhan Peladang.
Kami mahu di masa mendatang kamiĀ bangga untuk masuk meminang anak dara orang, untuk menyebut kami kerja petani dan Ahli Peladang. Seperti bangga seorang jurutera menyebut; aku jurutera Petronas.
Lawan Tetap Lawan.
Mohamad Zamir Ghazali
Ahli Jemaah Pengarah (AJP)
Pertubuhan Peladang Kebangsaan(NAFAS)