Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menasihati Dato’ Seri Amirudin Shari agar terus kekal mentadbir negeri ini sehingga habis penggal.
Dato’ Menteri Besar berkata pesanan dititip Baginda beberapa hari lepas demi memastikan negeri berada dalam keadaan stabil dan harmoni tanpa diganggu mana-mana pihak.
“Dalam beberapa hari saya berjumpa dan Tuanku turut berpesan dan perkenan jika saya sebut nama Tuanku. Bahawa insya-Allah kalau tak ada apa-apa yang menggegar dan besar, kita kekal sebagai kerajaan perpaduan tanpa ada masalah dalam negeri.
“Tuanku minta untuk saya habiskan penggal ini tanpa diganggu dan untuk pastikan semua kestabilan dalam negara dan negeri dicapai.
Amirudin turut memberi jaminan akan terus kekal mentadbir negeri ini malah beliau akan mengutamakan kestabilan seperti janji yang dilafaz ketika mengangkat sumpah jawatan.
“Ketika saya terima watikah penggal ni, antara nasihat Tuanku adalah pastikan saya laksanakan tugas sampai lengkap atau sempurna dan jamin kestabilan politik negara dan negeri. Sebab itu kita berjaya dapat hasil yang baik,” katanya merasmikan sambutan Hari Krismas dan rumah terbuka tahunan peringkat negeri malam ini.
“Beberapa hari ini terdapat pelbagai spekulasi menyebut adanya pertukaran tampuk pimpinan yang mungkin meresahkan rakyat serta mengganggu kestabilan negeri.
“Dalam realiti, tak ada apa-apa berlaku dalam Selangor tapi spekulasi dibuat sebab mereka tahu melalui kestabilan ini, pencapaian dan keputusan kita akan terganggu. Fokus rakyat juga akan tergugat,” katanya.
Beberapa hari ini timbul dakwaan kononnya Amirudin bakal menyertai barisan kabinet dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menggantikannya.
Ia susulan khabar angin mendakwa Tengku Zafrul menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam masa terdekat. -SelangorKini