Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Ia digunakan dalam pendidikan, perubatan, perniagaan, keselamatan dan juga pentadbiran awam. AI mampu meningkatkan kecekapan dan membantu manusia membuat keputusan yang lebih baik. Namun begitu, tanpa panduan nilai dan etika, AI juga boleh membawa kemudaratan besar kepada manusia. Di sinilah konsep Nahi Mungkar dalam Islam menjadi sangat penting untuk diterapkan dalam penggunaan AI secara bertanggungjawab.
Allah SWT berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran, 3:104)
Ayat ini menunjukkan bahawa mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama, termasuk dalam bidang teknologi moden. AI bukan sekadar alat teknikal, tetapi sistem yang memberi kesan langsung kepada kehidupan, maruah dan keselamatan manusia.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, dengan lisannya; dan jika tidak mampu, dengan hatinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam konteks AI, “tangan” merujuk kepada kawalan undang-undang, polisi algorithm AI dan reka bentuk platform dan sistem. “Lisan” pula merangkumi pendidikan, kesedaran dan nasihat kepada pembangun serta pengguna AI.
Antara contoh penggunaan AI yang salah dan membahayakan manusia ialah:
Pertama, AI untuk penipuan dan manipulasi, seperti teknologi Deepfake dan Voice Cloning menggunakan teknologi Text-to-Speech (TTS) yang digunakan untuk memfitnah, menipu dan menjatuhkan maruah individu. Islam dengan jelas melarang dusta dan penyebaran fitnah. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang benar.”
(Surah At-Taubah, 9:119)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kedua, AI yang melanggar privasi manusia, seperti pengawasan dan pengumpulan data tanpa keizinan. Islam melarang perbuatan mengintip dan menceroboh kehidupan peribadi. Allah SWT berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah Al-Hujurat, 49:12)
Ketiga, AI yang berat sebelah dan menindas, akibat data atau algoritma yang tidak adil. Ini boleh mendiskriminasi golongan tertentu dalam pekerjaan, kewangan atau sistem keadilan. Islam sangat menekankan keadilan. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan (ihsan), serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah An-Nahl, 16:90)
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya pada hari kiamat.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Keempat, AI sebagai alat senjata dan keganasan, khususnya sistem senjata autonomi yang membunuh tanpa pertimbangan kemanusiaan. Ini bercanggah dengan prinsip pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”
(Surah Al-Isra’, 17:33)
Kesimpulannya, Islam tidak menolak teknologi, malah menggalakkan inovasi yang membawa maslahat. Namun, tanpa penerapan konsep Nahi Mungkar, AI boleh menjadi alat kezaliman moden. Dengan menjadikan nilai Islam sebagai panduan, AI boleh dibangunkan secara human centric, adil dan bertanggungjawab (responsible AI), demi kesejahteraan manusia dan kemakmuran dunia.
Oleh: Ahmad Jamali Sepihie
| Ahmad Jamali Sepihie melalui karier professional yang panjang, selama 36 tahun bekerja dalam 10 syarikat, berpengalaman dalam industri minyak & gas (Petronas Carigali) serta ICT/Telekomunikasi (MRCB Multimedia, JARING dan Telekom Malaysia (TM)) dan terakhir berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Besar di Bahagian Kawal Selia dan pernah menjadi Ketua Pasukan AI Agile Squad di AI Centre of Excellence (AI CoE) TM, yang mengkhusus dalam latihan serta penalaan halus (fine-tuning) model bahasa besar (LLM). Graduan Kejuruteraan Kimia (Kepujian) dari University of New South Wales, Australia. |