Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Dr. Mujahid Yusof Rawa menempelak tindakan bekas Perdana Menteri, Najib Tuan Razak yang membuat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru semalam. Kata Dr. Mujahid, beliau amat kesa dengan tindakan itu kerana ia sebenarnya satu tindakan yang mempermainkan sentimen agama di hadapan penyokong-penyokongnya. Malah tindakan terdesak itu dilakukan Najib ketika usaha beliau dan pasukan peguamnya untuk menangguhkan perbicaraannnya di Mahkamah Persekutuan menemui kegagalan.
Tambah Naib Presiden AMANAH itu, lebih dikesali beliau adalah apabila penyokong-penyokong beliau dipergunakan untuk berkumpul di Masjid tersebut termasuk seorang penceramah agama Datuk Ustaz Kazim Elias. Tindakan Najib itu dilakukan ketika Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman beliau bersalah. Setelah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, tiga panel hakim turut mengekalkan hukuman tersebut. Di peringkat akhir, sedang berlangsungnya penghujahan rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh lima hakim termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun untuk menentukan nasibnya.
Kata Dr. Mujahid lagi, bagi beliau, tiada sumpah mubahallah dalam kes jenayah kecuali untuk kes Ii’an sahaja. Maka Dr. Mujahid menyeru Mufti dan Menteri Agama memberikan teguran atas tindakan Najib itu. Beliau mempersoalkan adakah melayu ingin terus berwajahkan melayu yang mempermainkan sentimen agama dan nilai melayu atau kita perlu berubah untuk menjadi melayu yang bermaruah? Jika Najib didapati tidak bersalah, maka bebaskanlah, namun jika bersalah, perlu jalani hukuman, tidak perlu gunakan sentimen agama untuk memanipulasi sokongan masyarakat. – Selangor Today