SelangorToday

NAMA ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN DIPINDA KEPADA ZAYN RAYYAN BIN ZAIM IKHWAN DALAM PERTUDUHAN

Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, untuk meminda nama kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam kertas pertuduhan.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, memaklumkan kepada Hakim Dr Syahliza Warnoh bahawa nama kanak-kanak itu dipinda daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

“Merujuk kepada pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh lalu (13 Jun), nama kanak-kanak seperti yang dicatatkan adalah Zayn Rayyan Abdul Matiin, namun pihak kami sudah menerima dokumen cabutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor melalui Ismanira yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan.

“Pada 4 Julai lalu, pembetulan maklumat nama Zayn Rayyan sudah dibuat dan ditukar kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan. Saya ingin merekodkan kami ingin membuat permohonan untuk meminda nama Zayn Rayyan dalam pertuduhan,” katanya yang turut mengemukakan salinan sijil kelahiran baharu kepada mahkamah pada prosiding sebutan kes pertama hari ini.

Mendengar permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan pihak pendakwaan baru menerima sijil kelahiran baharu itu pagi ini.

“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan pada pagi ini, pendakwaan memohon untuk memaklumkan kepada pihak-pihak sekiranya terdapat pindaan pada pertuduhan pada tarikh akan datang,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr Syahliza kemudian mengarahkan pendakwaan mengesahkan terlebih dulu dengan JPN dan perkara itu akan diteliti dalam sebutan kes akan datang.

Sementara itu, dalam sebutan kes hari ini, mahkamah diberitahu peguam Mahmud Abdul Jumaat tidak lagi mewakili Ismanira sebaliknya diganti Fahmi.

Fahmi memaklumkan Ismanira menghantar surat penamatan perkhidmatan guaman yang mewakilinya.

“Saya difahamkan Ismanira menghantar surat berhubung penamatan perkhidmatan itu kepada Tetuan Emir Mahmud & Co pada 18 Jun lalu,” katanya.

Peguam Hadzwan Ayob daripada Tetuan Emir Mahmud & Co turut mengesahkan perkara itu.

Dalam prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh hadir dan kelihatan tenang bersama ahli keluarga masing-masing.

Turut hadir, peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia iaitu Vivek Sukumaran dan Jason Wee.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat. – Harian Metro

Exit mobile version