Naratif yang dimainkan oleh PAS ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman bulan lalu hanyalah satu helah untuk menenggelamkan cerita perihal ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang mula meninggalkan gabungan tersebut. Timbalan Pengerusi AMANAH Selango Hj Azli Yusof berkata, jelas sehingga kini PAS khususya tidak pernah mengalah untuk menebuk atap kerajaan, namun tiada sokongan beralih daripada blok kerajaan kepada PN, sebaliknya wakil rakyat PN pula yang menyokong kerajaan satu demi satu. Maka demi mempertahankan sokongan dan memberikan harapan kepada wakil rakyat PN yang tinggal, PAS mencanangkan nama Menteri Besar Terengganu sebagai calon PM seterusnya.
Disunting melalui laman portal Suara Keadilan, Hj Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan bahawa PAS mula khuatir dengan situasi semasa memandangkan lebih ramai wakil rakyat PN sudah mula menyokong Kerajaan Perpaduan termasuk dari kalangan wakil rakyat PAS. Tujuan mereka hanyalah mengekang peralihan sokongan tersebut dengan mencalonkan nama baru sebagai Perdana Menteri bayangan. Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan HARAPAN Selangor itu turut menempelak pimpinan PAS yang mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim gagal menunaikan janjinya kerana dilihat membentuk kabinet yang bertambah bilangannya berbanding sebelum ini. Kata Hj Azli, pertambahan tersebut hanyalah melibatkan beberapa kementerian yang memerlukan penumpuan daripada menteri masing-masing. Contohnya Kementerian Komunikasi dan Digital dipisahkan demi memastikan kedua-dua portfolio untuk diberikan tumpuan oleh menterinya sendiri.
Selain KKD yang kini dipimpin oleh Fahmi Fadzil(Komunikasi) dan Gobind Singh(Digital), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga dipecahkan kepada dua kementerian yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri(Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) dan Nik Nazmi(Sumber Asli dan Kelestarian Alam). Jelas Hj Azli lagi, kabinet yang dibentuk kali ini bukanlah ‘Kabinet balas budi’ sebaliknya ia dibentuk untuk mengisi keperluan sama tanpa berlaku pertambahan melebihi jumlah anggota kabinet semasa zaman PN ataupun Keluarga Malaysia. – SelangorToday