SelangorToday

NASIB PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU MASIH MENJADI TEKA-TEKI – HJ AZLI

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof memohon kepada kerajaan melihat adakah peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan MADANI 2024 bagi Pembangunan Kampung Baru mencukupi selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Smart City’ pada tahun 2030. Ketika membahaskan Belanjawan Madani 2024 bagi Jabatan Perdana Menteri peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam, Hj Yusof memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Kampung Baru, yang menyatakan bahawa pembangunan Kampung Baru memerlukan anggaran RM750 juta secara keseluruhan melibatkan pelebaran jalan, penambahbaikan bekalan air dan pembentungan untuk dilaksanakan.

Namun bekas Setiausaha Politik Menteri Wilayah itu berkata, Pembangunan Kampung Baru hanya menerima peruntukan sebanyak RM500 ribu sahaja. Adakah kerajaan bercadang untuk membangunkan Kampung Baru secara holistik, atau selesa dengan pembangunan secara berperingkat?  Sebaliknya jika dilakukan secara berperingkat sekali pun, adakah RM500 ribu yang diperuntukan mencukupi?  Hj Azli juga membangkitkan peruntukan mesra rakyat dimana peruntukan tersebut  menumpukan kepada kerja baik pulih Perumahan Kos Rendah sahaja sedangkan peruntukan itu juga diperlukan untuk Perumahan Kos Sederhana.  

Disamping itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu melihat prestasi Jabatan Komunikasi Komuniti(JKOM) sebagai kurang berkesan dalam menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada masyarakat. Beliau menambah, JKOM juga kurang menangkis tohmahan dan dakwaan jahat pihak-pihak tertentu kepada kerajaan sehingga rakyat terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat. Kini, kerajaan mengurangkan RM5 juta dalam peruntukan JKOM, adakah pengurangan ini mampu mengatasi kelemahan JKOM yang dibangkitkan? Peruntukan itu mestilah selaras dengan keberkesanan menyampai maklumat khususnya di kawasan pendalaman dan ketika krisis berlaku. – SelangorToday

Exit mobile version