Bakal calon HARAPAN DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman berhasrat mahu menyelesaikan masalah yang berbangkit di kawasan tersebut secara tuntas dan jelas. Beliau berkata antara permasalahan yang menjadi agenda utama untuk diperjuang ialah membangunkan ekonomi penduduk setempat dan mencari jalan penyelesaian kepada banjir kilat yang sering melanda kawasan itu.
Nazri yang juga seorang jurutera berkata, sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat di situ, antara perkara utama yang akan dilaksanakan ialah memperbaiki sistem saliran dan perparitan agar banjir kilat yang sering ‘menghantui’ penduduk setempat tidak lagi berulang.
“Perkara kedua yang akan saya lakukan adalah membantu penduduk setempat memperbaiki ekonomi mereka dengan pembinaan kawasan perniagaan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui sektor industri termasuk industri kecil sederhana (IKS).
“Saya juga tidak akan melupakan perkara asas iaitu berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, golongan yang memerlukan akan dibantu daripada setiap aspek serta berusaha mengeluarkan mereka daripada ‘kepompong’ kemiskinan, begitu juga mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik, bantuan bagi meringankan beban akan disalurkan,” katanya.
Bagi meneruskan legasi penyandang kerusi DUN Simpang Jeram iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Nazri berkata, beliau akan sentiasa mengamalkan konsep ‘turun padang’ bagi mendekati rakyat.
Dua perkara yang diingati beliau dan akan diteruskan adalah memastikan setiap rumah dalam kawasan itu mempunyai makanan serta membantu keluarga juga waris sekiranya berlaku kematian.
“Kaunter aduan khas berkaitan bantuan asas (makanan) akan saya teruskan dan saya juga akan membantu daripada segi menguruskan kematian serta menyediakan perkhidmatan makanan bermasak secara percuma untuk majlis kenduri tahlil (hari pertama) bagi meringankan beban keluarga si mati.
“Selain itu, jika diberikan tanggungjawab untuk meneruskan legasi ini… saya akan teruskan setiap perancangan yang dibuat oleh Arwah (Salahuddin) agar pembangunan yang direncana dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Penamaan calon bagi PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai ditetapkan Sabtu ini disusuli undi awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.