PETALING JAYA: Kemelut politik Perlis membuktikan kegagalan PAS dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir serta mengawal negeri sekecil Perlis, selain bertelagah sesama sendiri tanpa ancaman pembangkang, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.
“Perlis negeri kecil, lebih kecil daripada sebuah daerah di Kedah dan jumlah rakyatnya juga tidak ramai. Jika negeri sekecil ini pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran, ini soal ketidaklayakan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata krisis itu bukan perkara baharu kerana telah berlarutan lebih setahun, meskipun pelbagai usaha dilakukan termasuk pertukaran pesuruhjaya PAS negeri, pelantikan pengerusi PN baharu, dan rundingan tertutup.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai politik ‘tebuk atap paling hina’ kerana melibatkan parti dan gabungan sama, tanpa sebarang tekanan luar atau ancaman pembangkang.
“Kerajaan PN di Perlis sedang mengkhianati mandat rakyat akibat kerakusan kuasa dan perebutan sesama sendiri,” katanya.
Mahfuz berkata, PAS sudah hilang autoriti moral untuk bercakap soal kestabilan, integriti, dan tadbir urus.
Beliau berkata, rakyat Perlis kini menjadi tebusan kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan, menyebabkan pentadbiran negeri terabai dan keyakinan rakyat runtuh.
“Yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah”.

