Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti lokasi penyimpanan bekalan makanan di Kuala Selangor dan kini dalam proses menyediakan mekanisme pengurusannya. Kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim gudang yang memperuntuk sejumlah RM40 juta di atas tanah seluas lima ekar itu dijadikan sebagai gudang penyimpanan bekalan stok makanan sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi perubahan iklim
“Gudang ini mampu menyimpan bekalan makanan dan memastikan keterjaminan makanan berterusan di Selangor. Tumpuan kita adalah stok bekalan, meningkatkan hasil padi dan tanaman bernilai tinggi antaranya benih dan baka yang beri kesan kepada pertanian.
“Pembenihan dan pembakaan menggunakan teknologi tinggi dan ia menjamin kejayaan dalam pertanian. Kerajaan Negeri memfokuskan kualiti ternakan dan pembakaan anak ayam, kambing, ikan air tawar dan udang,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis serahan bantuan peralatan penangkapan ikan dan bakul makanan kepada nelayan di lima daerah menerusi Program Pembangunan Agropreneur di Jeti Sungai Sireh di sini. Dimajlis itu, Izham menyerahkan bantuan berkenaan kepada persatuan nelayan kawasan Sepang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sungai Besar.
Mengulas mengenai bantuan kepada nelayan di Selangor, Pengerusi AMANAH Selangor itu memaklumkan kerajaan Negeri membelanja RM275,000 bagi menyalurkan bantuan peralatan penangkapan ikan dan bakul makanan kepada nelayan di lima daerah menerusi Program Pembangunan Agroprenuer. Tambah beliau bantuan kepada nelayan itu merupakan peruntukan tahun lepas, bagaimanapun tidak dapat diserahkan atas beberapa faktor termasuk pilihan raya negeri.