SelangorToday

NIK AZIZ-KARPAL SINGH LAMBANG ISLAM YANG RAHMAH & PERPADUAN NEGARA

NOSTALGIA | Apabila menyebut soal politik berteraskan teologi dan kaum, parti yang tergambar dalam fikiran kita sudah tentulah UMNO, PAS, MIC, MCA, GERAKAN dan DAP. Namun kesan daripada menjadi parti yang memerintah, UMNO, GERAKAN, MIC serta MCA kurang dilihat akan penonjolan sikap perkauman yang kuat. Sebaliknya pembangkang yang berkurun lama berada dikerusi tersebut seperti PAS dan DAP dilihat sangat dekat dengan isu tersebut dan dipersepsikan menggunkan elemen teologi dan kaum sebagai asas untuk mendapat sokongan pengundi.

Walaupun bertahun-tahun mereka menggunakan elemen tersebut, mereka gagal dipilih atau diberi mandat untuk memerintah negara melalui Pilihan Raya Umum. Apabila DAP bersikap lebih terbuka dalam kerjasama politik, mereka mendapat manfaat dengan diberi peluang memerintah Pulau Pinang sejak 2008 dan sebahagian daripada pemerintah Malaysia pada tahun 2018 dan 2022. PAS juga dilihat mendapat kelebihan yang sama pada tahun 2008 di Kedah, Perak dan Selangor. Kenyataan ini menunjukkan bahawa DAP dan PAS mempunyai naratif teologi dan kaum yang kuat tetapi apabila beralih kepada jalur sederhana, mereka mendapat sokongan yang maksima.

Situasi ini mengepung strategi yang dibawa oleh pimpinan DAP mahupun PAS sama ada mengekalkan konsep teologi dan kaum ataupun mula terbuka dan bertoleransi untuk mendapatkan sokongan yang lebih besar melalui pendekatan politik. Tidak semena-mena, antara tahun 2008 hingga 2009, dua tokoh kepimpinan daripada parti DAP dan PAS mula merintis jalan baru dalam menjalinkan hubungan yang lebih terbuka sama ada secara peribadi ataupun dalam politik.

Jika Almarhum Ustaz Fadzil Noor terkenal sebagai pemimpin PAS yang berjaya meletakkan PAS berperanan dalam arus perdana masyarakat, Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pula adalah tokoh pemimpin PAS yang membawa PAS kepada kedudukan yang seimbang dengan bukan Islam dan memecah tembok ketakutan bukan Islam kepada PAS. Mendiang Karpal Singh pula selaku Pengerusi DAP ketika itu juga pemimpin berkarisma DAP yang lama menceburi bidang politik membina naratif politik sederhana yang membolehkan beliau duduk dan berbincang dengan Nik Aziz selaku pemimpin kerohanian PAS.

Walaupun pada tahun 1999, Lim Kit Siang pernah mengunjungi pejabat Menteri Besar Terengganu, Hj Abdul Hadi Awang serta gambar ikonik mereka berpelukan, keadaan itu gagal menjadi penyumbang kepada peneguhan DAP dan PAS mahupun hubungan baik orang Islam dan bukan Islam. Sebaliknya pendekatan yang lebih sederhana bekas Menteri Besar Kelantan kepada bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika itu membuka seluas-luasnya ruang pemikiran orang Islam dan bukan Islam bekerjasama setidak-tidaknya secara peribadi.

Keikhlasan Nik Aziz menyantuni Karpal Singh lebih besar daripada mahu mendapat manfaat politik semata-mata. Lebih utama adalah memperlihatkan tuntutan Islam yang sebenar dimana perdamaian lebih utama daripada perkelahian. Berbincang lebih utama daripada bergaduh. Kelembutan lebih utama daripada kekerasan. Tahun 2013, Nik Aziz hadir menemui Karpal Singh dan menyambut hari lahirnya bersama pemimpin DAP yang diberi gelaran ‘Tiger Of Jelutong’ itu. Apa asasnya tok guru melakukan tindakan tersebut? Ini kerana langkah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan orang bukan Islam terhadap Islam lebih utama berbanding membina tembok yang menjarakkan.

Kalau dilihat pada strategi atau pendekatan Nik Aziz ketika berhadapan dengan isu bukan Islam, beliau tidak akan mudah memberi hukuman atau memberi kata putus. Sebaliknya beliau memilih untuk bertemu dan berbincang bagi mendapatkan fakta yang tepat dan membentuk solusi yang relevan dalam keadaan itu. Kesannya berinteraksi lebih banyak daripada berseteru yang memudahkan banyak maklumat disampaikan kepada orang bukan Islam. Inilah proses dakwah yang bekas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lakukan.

Karpal Singh pula yang terkenal dengan sikapnya tegas serta pendirian yang tetap berlapang dada menjalinkan kerjasama erat dengan pemimpin Parti Islam yang dikenali amat kuat dan tekad untuk menegakkan syariah Islam. Tahun-tahun 80an dan 90an, Karpal adalah wajah utama yang akan menjadi jurubicara DAP terkait isu perundangan dan rakyat selain Lim Kit Siang. Ia turut memaparkan kelantangan Karpal dalam kerjasama dengan PAS sebelum itu mahupun pendirian PAS berkaitan negara Islam. Mengapa ketika zaman Nik Aziz, Karpal boleh meredakan ketegangan itu dan membuka jalan toleransi yang lebih damai?

Semuanya kerana tiada ruang untuk mereka saling memahami. Isu yang membelengu antara Nik Aziz dan Karpal sama sekali tidak dirungkaikan. Jelas ketika Tengku Razaleigh mengemudi pembangkang era 90an, PAS dan DAP tidak boleh duduk dalam satu pakatan sehingga menubuhkan Angkatan Perpaduan untuk merangkul PAS dan mewujudkan Gagasan Rakyat untuk mengikat DAP. Titik temu yang membuka ruang untuk mereka berbincang tidak berjaya dilakukan. Padahal asal maklumat dan kefahaman yang jelas, Karpal terbuka untuk bersama-sama seperti dalam Pakatan Rakyat.

Mungkin adanya perihal yang masih mengaburi kefahaman Karpal ketika itu menyebabkan beliau dilihat membantah pendirian PAS, manakala Nik Aziz juga mungkin turut kekurangan fakta dalam beberapa isu menyebabkan beliau juga dilihat berseteru dengan Karpal buat seketika. Dengan konsep Islam yang rahmah, Nik Aziz membawa PAS kepada Karpal. Dengan asas perpaduan negara bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan Karpal membawa DAP kepada Nik Aziz.

Kesediaan mereka berdua yang telah lama meninggalkan kita semua dengan pendekatan mereka bukan hanya demi sebuah manfaat politik, namun yang lebih utama menjadi peristiwa yang tercatat dalam sejarah bagaimana ahli politik agamawan dan ahli politik berperlembagaan boleh bersemuka dan bersepakat demi jalur kesederhanaan dalam interaksi antara Islam dan bukan Islam. Mereka berdua akan terus dikenang sebagai ahli politik yang mengukir fenomena bangsa dan negara.

Exit mobile version