
KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 4 Julai 2025.
Dalam satu kenyataan media, beliau memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Nik Nazmi juga memaklumkan bahawa beliau akan mula bercuti bermula esok sehingga tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat selepas beliau gagal mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti baru-baru ini.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet. Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” katanya.
Sejak dilantik ke dalam Kabinet pada Disember 2022, Nik Nazmi telah menerajui dua kementerian – pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, sebelum kementerian itu dirombak dan dinamakan semula sebagai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Disember 2023.
Sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau mengetuai pelbagai inisiatif penting termasuk:
- Pindaan Fasa 1 kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127]
- Peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA)
- Pengemukaan awal National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP)
- Pengurangan kadar penyahutanan secara ketara, yang turut mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres
Dalam tempoh beberapa minggu pertama pelantikan, beliau turut mengetuai pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik menerusi mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia serta meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat.
Sektor air juga tidak terkecuali daripada reformasi apabila kementerian di bawah kepimpinannya memperkenalkan Tariff Setting Mechanism, sebuah pendekatan baharu dalam penetapan tarif air yang lebih mampan dan telus.

Antara inisiatif penting yang masih berjalan ialah penyediaan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang kini telah memasuki peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.
Nik Nazmi turut merakamkan penghargaan kepada para penjawat awam, pasukan kementerian dan pelbagai pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menumpukan semula perhatian kepada tugas sebagai wakil rakyat.
“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa,” ujar beliau.
Kenyataan beliau diakhiri dengan petikan mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: “Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”