SelangorToday

NIK NAZMI SERU PENJAWAT AWAM MAIN PERANAN, RANCAKKAN KEMPEN GAYA HIDUP HIJAU

Penjawat awam khususnya warga kerja Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), perlu memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan amalan gaya hidup hijau, terutama dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Program Gaya Hidup Hijau Peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, antara usaha merancakkan kempen itu secara lebih proaktif, meluas dan berterusan.

Kempen turut menggalakkan kitar semula dalam kalangan masyarakat, ke arah mencapai sasaran sifar sisa pembungkusan menjelang 2024.

“Secara umumnya, idea untuk kita mempromosikan gaya hidup hijau ini adalah cara hidup yang mesra alam sekitar dan tenaga dan bertanggungjawab dalam kita berdepan dengan soal perubahan iklim yang kita hadapi pada hari ini.

“Ini merangkumi aspek untuk mengurangkan impak kepada alam ini, di samping meningkatkan kesihatan, kebahagiaan dan produktiviti kita. Ia bukan sahaja bermanfaat untuk bumi kita, tetapi baik untuk diri kita dan masyarakat keseluruhannya”, katanya semasa berucap merasmikan Program Gaya Hidup Hijau Peringkat Kementerian, di Putrajaya.

Pada majlis sama, Nik Nazmi turut merasmikan mesin pengumpulan botol plastik melalui Reverse Vending Machine (RVM) NRES, serta melancarkan inisiatif TRASH4PROTECTION, platform pengumpulan sisa elektronik (e-waste) dan kempen beg boleh guna semula.

Kesemua program tersebut secara tidak langsung mencetus pembentukan warga NRES sebagai duta kecil dalam mempromosikan “Gaya Hidup Hijau” kepada masyarakat yang akan diperbanyak serta diperluas pada masa akan datang. – Berita RTM

Exit mobile version