SelangorToday

NUTP GESA KPM AMBIL PENDIRIAN TEGAS ISU DLP, TERIMA PANDANGAN PAKAR

Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan madani melalui Kementerian Pendidikan Malaysia menggambil pendirian yang tegas susulan bantahan Program Dwibahasa(DLP) versi terkini baru-baru ini. Melalui Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, NUTP menyatakan pihak KPM merupakan pihak yang paling tepat menangani perkara tersebut memandangkan pengetahuannya tentang program itu dan keperluan sekolah dan pelajar di seluruh negara.

Sebelum ini, terdapat gesaan agar KPM memansuhkan peraturan mewajibkan sekolah rendah dan menengah yang menawarkan DLP mempunyai hanya satu kelas tahun satu atau tingkatan satu untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira kehendak ibubapa. Susulan itu, polemik DLP menjadi hangat sehingga menjurus kepada isu perkauman yang boleh mengganggu keharmonian kaum di Malaysia. 

Fouzi menyatakan bahawa pendirian NUTP adalah DLP perlu dikhaskan untuk pelajar sekolah berasrama penuh dan sekolah rancangan khas sahaja kerana mereka khusus dipilih untuk menjadi profesional di negara kita. Memetik kenyataan beliau di portal FMT, Fouzi melihat masalah ini timbul apabila sekolah harian biasa turut melaksanakan DLP sedangkan pelajarnya kurang menguasai Bahasa Inggeris asas. 

Maka KPM perlu menghentikan segera perbahasan isu DLP dan mengambil pendirian tegas. Dakwa Fouzi lagi, yang membantah syarat terkini pelaksanaan DLP di sekolah adalah mereka dari kumpulan kecil teknokrat dan individu kelas menengah yang mendesak KPM mengikut kehendak mereka. Sedangkan mereka bukanlah pakar pendidikan berbanding anggota yang berada dalam pasukan KPM. -SelangorToday

Exit mobile version