
Pemilihan Parti Tindakan Demokratik(DAP) kali ini lebih hangat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Meskipun usia DAP melebihi setengah abad, namun mereka tidak dapat mengelak daripada sebarang persaingan jawatan dalam parti atas faktor sentimen yang pelbagai.
Transisi yang berlaku pada pemilihan tahun 2022 berjalan lancar apabila Lim Guang Eng selaku Setiausaha Agung menyerahkan jawatan tersebut kepada Loke Siew Fook atas faktor tempoh memegang jawatan tersebut dihad tiga penggal sahaja. Guan Eng yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang serta Menteri Kewangan diangkat sebagai Pengerusi DAP yang baharu menggantikan Tan Kok Wai.

Pun begitu pada pemilihan kali ini, kedengaran yang sangat nyata wujudnya gelombang atau gerakan yang ingin menggugurkan anak Lim Kit Siang itu daripada jawatannya sekarang. Khabar angin yang berbentuk gerakan secara dalaman itu bermula sejak pemilihan DAP peringkat negeri Pulau Pinang beberapa bulan yang lalu.
Dalam kerancakkan untuk bersaing, peneraju kerajaan negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan tidak bertanding jawatankuasa DAP Negeri sebaliknya ingin menumpukan pertandingan di peringkat kebangsaan. Menjadi janggal apabila Kon Yeow merupakan penyandang kerusi Pengerusi DAP negeri, Pengerusi Pakatan Harapan negeri serta Ketua Menteri Pulau Pinang tiba-tiba tidak bertanding di peringkat negeri. Ia sekaligus bakal meletakkan seseorang sebagai Pengerusi DAP negeri yang baharu.
Selesai pemilihan diperingkat negeri, Steven Sim, Menteri Sumber Manusia dipilih menggantikan Kon Yeow manakala Lim Hui Ying adik kepada Guan Eng dilantik sebagai Setiausaha DAP negeri. Dipercayai formasi tersebut dicapai apabila berlaku pertembungan yang sangat tajam antara kelompok yang pro kepada Guan Eng dan kelompok yang pro kepada Kon Yeow.

Katanya, berlaku gerakan yang ingin menurunkan Kon Yeow selaku Ketua Menteri menyebabkan gerakan anti-Kon Yeow membuat serangan melalui pemilihan DAP negeri. Lebih menjelaskan keadaan itu, Guan Eng kerap kali menegur dan menyatakan kekecewaannya terhadap kepimpinan Kon Yeow di pulau mutiara itu. Ini memberikan tekanan kepada Kon Yeow setelah diberikan amanah memimpin negeri buat penggal kedua.

Walau bagaimana pun, formula itu boleh diterjemahkan sebagai kegagalan gerakan menurunkan Kon Yeow. Malah Kon Yeow kekal menerajui kerajaan negeri atas kapasiti Pengerusi Pakatan Harapan untuk penggal yang baharu. Justeru gerakan yang ingin menurunkan Guan Eng pula berlaku di peringkat negeri lain dan kebangsaan sebagai reaksi yang berlaku di Pulau Pinang. Untuk rekod, Kon Yeow mengemudi DAP Pulau Pinang sejak pasca reformasi 1999 lagi apabila DAP menerima kekalahan teruk.
Maka gerakan untuk menurunkan Guan Eng dikira memuncak dalam pemilihan kali ini. Selain faktor ketidaksenangan kelompok pro Kon Yeow terhadap Guan Eng, apakah faktor lain yang menyebabkan gerakan menurunkan Guan Eng kuat?

Pertamanya, kes mahkamah yang pernah terpalit kepada Guan Eng boleh dianggap pemangkin kepada pemilihan tokoh lain dipilih sebagai pengerusi DAP. Kes yang dikira berlaku semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri boleh dianggap liabiliti buatnya. Ia dikira sebaris dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Malah pemerhati melihat, kes yang dipunyai oleh Guan Eng menyebabkan beliau tidak diserap ke kabinet MADANI.
Kedua, keberadaan adik Guan Eng dalam kepimpinan DAP serta kerajaan MADANI hanya melengkapkan sentimen anti nepotisme yang berlaku sekian lama dalam DAP. Sebelum ini DAP pernah ditentang oleh tokoh-tokoh lain seperti Teng Chang Khim hanya kerana Guan Eng dan bapanya berada dalam kepimpinan DAP. Legasi yang disertai oleh ahli keluarga dalam tempoh yang agak panjang memberi sedikit sebanyak ketidakpuasan hati ahli DAP. Kini apabila Guan Eng dikira mahu meletakkan adiknya sebagai proksi, ia meningkatkan momentum ahli untuk melihat kewajaran Guan Eng diturunkan.

Ketegangan antara beliau dan pimpinan UMNO juga boleh dikira memberi impak kepada Guan Eng, kerana DAP hari ini berada pada kedudukan yang sangat berbeza dengan sebelum ini. DAP berada dibawah satu kerajaan bersama UMNO yang ditentang begitu lama. Pembawakan Guan Eng untuk bertegas dalam apa-apa perihal mungkin mampu melegakan sebahagian ahlinya, namun ia juga mampu melemahkan kesatuan yang dibentuk di Putrajaya. Ada yang berpendapat, ketika ini kebersamaan dalam PERPADUAN harus diperkukuhkan bagi memastikan dasar MADANI meresap ke sanubari rakyat memandangkan pembangkang berada di posisi yang kuat. Justeru pembawakan Guan Eng ada pro dan kontranya.
Ironinya, pemilihan kali ini boleh dikira sebagai penentuan operasi menyahkan Guan Eng berjaya atau tidak. Sentimennya agak kuat sehingga Malaysiakini melaporkan Loke telah berjumpa Guan Eng bagi memujuk agar beliau tidak bertanding pemilihan kali ini. Ia merupakan inisiatif Menteri Pengangkutan itu bagi mengelakkan Guan Eng dimalukan apabila tidak dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan.

Walaupun begitu, tiada maklum balas yang diterima dari Guan Eng dan dijangkakan, Ahli Parlimen Bagan itu akan kekal memasuki gelanggang pertandingan yang bakal diadakan seminggu daripada sekarang. Berjayakan operasi nyah Guan Eng ini?