SelangorToday

MEJA PENGARANG | PAKATAN HARAPAN : MEMANDU KESTABILAN POLITIK DAN KEPEDULIAN RAKYAT

Musim rakyat merasa lesu pada politik semakin terbukkti. Rentetan dari permainan silap mata mereka yang mengkhianati mandat rakyat sejak Langkah Sheraton 2020 sehingga kini, menyebabkan rakyat sudah mula bosan dan mengambil sikap putus harapan kepada politik Malaysia. Walaupun permainan silap mata itu dilakukan oleh mereka yang khianat pada mandat rakyat, namun mereka yang teraniaya dari pengkhianatan itu dan setia mempertahankan mandat rakyat juga terkesan teruk dengan lesu politik yang digambarkan oleh rakyat.

Bunga-bunga ketidakstabilan memang kelihatan ketika kelompok dalam PH sentiasa membahaskan proses peralihan kuasa antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua pihak perlu akui bahawa kegagalan menguruskan persepsi ini menyebabkan PH sentiasa digambarkan tidak stabil dan mendorong proses pengkhianatan itu berlaku. Namun ia tidak sampai kearah sebuah kerajaan itu dijatuhkan manakala huru – hara politik berlaku. Sebaliknya, alasan yang digunakan oleh para pengkhianat untuk meredakan ketidakstabilan politik antara penyokong Tun M dan DSAI dalam kerajaan dengan cara menjatuhkan kerajaan PH dan menaikkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih membawa keributan yang besar kepada politik negara.

Rupa-rupanya keikhlasan yang ditunjukkan oleh para pengkhianat untuk meredakan ketegangan politik yang didakwa berpunca dari pasukan DSAI hanyalah helah untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kerajaan. Ini terbukti apabila Tun M sendiri ditendang keluar oleh para pengkhianat apabila tidak bersetuju untuk bersama UMNO secara blok untuk membentuk kerajaan. Maka jelaslah bahawa perlumbaan antara penyokong Tun M dan DSAI bukanlah faktor utama mereka mengkhianati, lebih besar adalah mempertahankan kedudukan mereka dalam empayar pemerintah. Hanya krisis Tun M dan DSAI menjadi batu loncatan atau mengaburi mata rakyat.

Berbalik kepada situasi semasa, jelas atau tidak bahawa walaupun tidak ada percaturan antara Tun M dan DSAI dalam kerajaan, kepimpinan negara tetap berada dalam ketidakstabilan yang maksima. Walaupun tiga buah parti melayu terbesar digabungkan sebagai sebuah kerajaan, masih belum mampu mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah kerajaan yang bergerak seiring jalan. Lebih besar lagi, ketiadaan DAP dalam kerajaan sekarang ini pun masih lagi mewajahkan kerajaan Malaysia tidak setenang air di laut.

Sedarkah kita bahawa ketidastabilan kepimpinan Melayu-Islam ini masih wujud? Antara siapa? Tun M dan DSAI sudah berada di luar kerajaan? Siapa yang sedang bermain catur. Ringkas jawapannya, antara parti-parti melayu ini sekalipun sedang berlumba antara satu sama lain agar kekal relevan menuju PRU tidak lama lagi. Malah lebih mendebarkan lagi apabila perlumbaan mereka saling pancung memancung antara mereka bagi memastikan hanya satu parti melayu yang akan mendapat tempat di hati pengundi. Lihat bagaimana pertembungan antara BN dan PN di Melaka. Lihat bagaimana PRN Sarawak. Ia mempengaruhi kelancaran kerjasama mereka di peringkat persekutuan. Sudahlah tidak stabil, malah janji para pejuang melayu islam ketika PH memerintah dahulu pun gagal untuk dilaksanakan setelah mereka berkuasa.

Ruang ketidakstabilan dalam kerajaan ini harus diambil sebaik mungkin oleh PH untuk kembali menawan hati pengundi. PH wajar memperlihatkan tentang kekuatan mereka bersama dalam pasukan tanpa anda sebarang ketidakstabilan dipaparkan kepada rakyat. Ini mampu menyakinkan rakyat. Mengapa PH tidak boleh dipadukan dan distabilkan?

PH sudah sebulat suara menamakan DSAI sebagai Perdana Menteri jika mereka memerintan semula, maka tidak ada lagi perdebatan antara Tun M dan DSAI. Kedua, ikrar ini telah dinyatakan oleh ketiga-tiga Presiden Parti dalam PH (UPKO kemudian) bahawa DSAI adalah calon PM mereka dan kesetiaan kepada setiakawan dalam PH barulah diikuti oleh pihah lain. Maka tidak perlu ada sifat was-was antara komponen PH sama ada mereka menjalinkan hubungan sulit dengan parti lain. Asasnya mereka kekal bersama, manakala pertemuan adalah bagi mengekalkan hubungan yang mungkin terjalin pada masa akan datang. Kepercayaan antara komponen parti PH wajar diperkasakan.

Isu pembahagian kerusi juga dianggap mampu diselesaikan mencapai 80% menjelang 2022 apabila hampir semua kerusi dikekalkan kepada parti yang bertanding dalam PRU yang lalu. Hanya 52 kerusi yang ditinggalkan oleh PBBM sahaja yang perlukan rundingan. Maka keributan antara komponen akibat agihan kerusi diminimakan kecuali ada pihak-pihak tertentu yang sengaja mencetur kekecohan dengan mencuri kerusi-kerusi kawan komponen. PH sudah berpadu sejak PRU 1999 lagi, ia lebih lama berbanding PN, pasti kelebihan ini perlu dimanfaatkan oleh PH.

Dengan keutuhan yang PH paparkan, ia mampu meningkatkan semula keyakinan rakyat kepada PH dan politik. Rakyat mendambarkan kestabilan politik yang lama agar mereka mampu menjalani hidup dengan baik. Sebelum ini rakyat terima politik sebagai sebahagian dalam hidup mereka. Namun atas kecelaruan yang banyak, politik dijauhkan dari mereka.

Satu lagi yang harus PH lakukan adalah memimpin kepedulian pada rakyat. Beban dan bencana yang timbuln disebabkan Covid-19, banjir dan kemiskinan adalah isu yang paling utama dipertimbangkan oleh rakyat. Jika PH mampu membawa tema kepedulian ini lebih besar, maka PH akan mendapat tempat dihati rakyat. Biarpun PH bukan kerajaan, dengan keberadaannya dalam politik sangat menguntungkan rakyat dengan pelbagai kaedah dan alternatif. Biar kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulai Pinang menjadi role model paling berkesan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka peduli akan nasib rakyat.

Pasca banjir ini, parti-parti komponen PH turun menyantuni rakyat untuk membantu mereka. Namun jangan ditinggalkan PH itu dibelakang, meskipun rakyat tidak mahu politik menjadikan bencana sebagai modal, namun jangan dibiarkan PH hanyut dek kepopularan parti-parti komponen PH sahaja. Nama PH wajar diperkasakan di setiap platform yang ada. Penulis bersetuju dengan teguran pihak-pihak tertentu ketika pasca PRN Melaka lalu, dengan menyatakan bahawa PH perlu bergerak secara bersama dan media PH wajar diperhebatkan. Logo PH mesti menjadi logo utama dengan sedikit pengubahsuaian. Manakala merah harus menjadi tema rasmi PH. Belajar daripada kecekapan PN dalam memanfaatkan kekuatan organisasi dan imejnya. Jika kita mahu kembali menjadi kerajaan.

Imej PH bawa perlulah stabil dan peduli. Ini tema utama bagi menawan hati rakyat. Maka segala isu yang mampu menggangu gugat kestabilan PH wajar diselesaikan, melainkan ada yang tidak mahu melihat PH berada dalam kestabilan. Usaha memimpin kepedulian kepada rakyat harus dipadukan atas nama PH dan parti komponen. PH jangan ditinggalkan. Melainkan ada yang mahu melihat PH gagal dalam PRU yang akan datang. Penulis bukan bomoh mahupun peramal politik yang hebat. Namun penulis sedar, gabungan yang stabil dan peduli pada rakyat akan mampu menawan hati pengundi pada PRU akan datang.

*Hanya pandangan peribadi penulis.

Exit mobile version