SHAH ALAM, 22 Okt – Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron menegaskan bahawa suara dan pandangan guru di peringkat akar umbi perlu diberi ruang untuk didengari oleh pihak pentadbir dan pembuat dasar pendidikan di negara ini.
Berucap dalam Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam sebentar tadi, Danial berkata wujud jurang ketara antara pentadbir di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan golongan guru yang menjadi pelaksana dasar di sekolah.
“Rasanya ada satu jurang pentadbir di peringkat PPD dan JPN. Banyak masalah timbul apabila polisi hendak diimplementasikan di peringkat bawah. Guru-guru rasa mereka hanya pelaksana, sedangkan suara mereka tidak didengar oleh pihak pembuat dasar,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan berlaku “kepincangan kepimpinan” apabila sesuatu dasar dibuat tanpa memahami kekangan sebenar yang dihadapi oleh guru di bilik darjah.
“Bila suara cikgu tidak didengar oleh pembuat polisi, sama ada di PPD, JPN mahupun KPM sendiri, maka berlaku sedikit kepincangan kepimpinan. Guru-guru perlu diberi ruang untuk memberi maklum balas terhadap dasar yang ingin dilaksanakan,” tambahnya.

Danial turut mencadangkan agar autonomi pedagogi atau kebebasan dalam pendekatan pengajaran diberikan kepada guru, selaras dengan matlamat pendidikan yang ingin dicapai di peringkat nasional.
“Apakah hari ini guru-guru kita mempunyai autonomi pedagogi untuk melaksanakan kaedah pengajaran mereka sendiri? Adakah kita beri kebebasan kepada guru untuk berinovasi asalkan matlamat pendidikan tercapai?” soal beliau.
Katanya lagi, sistem pendidikan tidak akan berkembang jika guru terus dikekang oleh arahan pentadbiran yang terlalu rigid dan tidak memberi ruang kepada kreativiti serta kepakaran mereka di bilik darjah.
“Kita perlu selesaikan jurang kepimpinan ini terlebih dahulu. Apa jua keputusan di peringkat atas perlu mengambil kira pandangan guru-guru kita di bawah, kerana mereka inilah yang berhadapan secara langsung dengan realiti pendidikan harian,” tegasnya.
Forum tersebut turut menghimpunkan tokoh akademik, pendidik serta wakil agensi kerajaan bagi membincangkan hala tuju reformasi pendidikan dan cabaran semasa yang dihadapi sistem pendidikan negara.