Pandangan serta idea dilontarkan dalam Program Mekar Kasih Ibu Tunggal Selangor 2022 hari ini bakal menjadi intipati pelaksanaan pelan tindakan Dasar Wanita Selangor 2022-2025.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, berkata segala cadangan melibatkan aspek pembangunan ekonomi, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bagi membantu golongan itu menjalani kehidupan lebih baik.
“Pandangan mereka ini berdasarkan pengalaman dilalui sendiri. Jadi Kerajaan Negeri akan teliti supaya dapat menghasilkan dasar menyeluruh seterusnya membantu mereka. Menerusi program ini juga kita dapat mengumpul data ibu tunggal sekali gus membolehkan bantuan disalurkan mengikut keperluan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.
Beliau berkata program terbabit melibatkan 150 peserta terdiri daripada ibu tunggal, wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) dari setiap Dewan Undangan Negeri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selangor akan terus memberi tumpuan kepada ibu tunggal dalam pelbagai inisiatif dan ini (program) merupakan platform untuk berkongsi situasi semasa,” katanya.