SelangorToday

Panglima Perang AMANAH Libas Pembangkang, Tiada Alasan Kukuh Nak Turunkan PM Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menempelak pembangkang berhubung usaha menganjurkan perhimpunan bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan, sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas dan tiada keperluan.

Berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, beliau menyifatkan kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar sebagai telus, berani dan terbuka menerima kritikan, termasuk dalam isu-isu seperti Laporan Ketua Audit Negara dan Suhakam.

“Kalau kerajaan sebelah sana, dulu dia tak berani. Tahun lepas dia lari. Tapi kerajaan ini sangat berani, telus dan terbuka untuk dikritik,” tegas Sany.

Menurut beliau, tomahan pembangkang terhadap kerajaan seperti isu harga barang dan pemberian bantuan RM100 kepada rakyat hanyalah alasan lemah yang tidak menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Kalau tak nak guna RM100 tu, jangan guna. Jangan ambil. Tapi kerajaan tetap beri bantuan kepada rakyat yang memerlukan, termasuk RM600 juta untuk program Bakul Rahmah,” katanya.

Beliau juga menyentuh kegagalan kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional menangani isu keperluan asas seperti bekalan telur dan harga minyak masak, sehingga rakyat terpaksa menaikkan bendera putih meminta bantuan makanan.

Pengarah Pilihan Raya AMANAH menyifatkan perhimpunan yang dirancang pada 26 Julai ini sebagai cubaan menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional serta perpecahan dalaman antara PAS dan Bersatu.

“Perpecahan mereka dah tak boleh sorok. Semua rakyat tahu. Jadi, nak alih perhatian, mereka buat perhimpunan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kerajaan hanya boleh dijatuhkan melalui dua jalan yang sah – sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya di Parlimen.

“PM pun dah cabar, bawa usul undi tak percaya. Tapi kenapa tak bawa? Kenapa tak berani?,” soal Sany.

Beliau turut mempertahankan hak berhimpun secara aman, namun menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan demonstrasi dalam keadaan kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat.

“Sabtu ini, ramai orang nak shopping di Sogo sebab gaji baru masuk. Tapi disebabkan ada himpunan, mereka tak boleh nak keluar. Ini menyusahkan rakyat,” katanya.

Exit mobile version