Isu keciciran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli merupakan antara agenda utama yang diperjuangkan Kerajaan Negeri tahun ini.
Exco Hal Ehwal Orang Asli berkata kesedaran kepentingan pendidikan dalam kalangan komuniti berkenaan masih rendah dan ia didorong pelbagai faktor.
Menurut V Papparaidu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut membantu menyediakan insentif khas kepada pelajar bagi menggalakkan mereka hadir ke sekolah.
“Mereka masih melihat pendidikan ini kurang penting. Malah ada di antara ibu bapa Orang Asli ini membawa anak-anak bekerja sekali sebagai buruh di ladang dan sebagainya.
“Anak-anak ini adalah masa depan kita. Harapan kita terlalu tinggi untuk melihat mereka berjaya dan seterusnya menyumbang kepada negara,” katanya.
Menurut Papparaidu, beliau kini melakukan lawatan bersiri ke 74 kampung Orang Asli di seluruh negeri sejak tahun lalu selain mengunjungi enam sekolah komuniti terbabit.
Hasil lawatan itu, katanya, beliau berhasrat melipat ganda program berkaitan aktiviti moral bagi mengelak gejala sosial minum arak yang semakin membimbangkan dalam kalangan Orang Asli.
“Saya sendiri ada pengalaman bertemu mereka yang asyik minum arak. Saya akan bentuk satu pasukan untuk siasat perkara ini kerana ia amat membimbangkan,” katanya.
Menerusi Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.5 juta kepada Orang Asli dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah. – SelangorKini