Timbalan Presiden AMANAH, Hj Salahudin Ayub berkata, disebabkan oleh mengkhianati mandat rakyat dan membentuk kerajaan yang bukan pilihan rakyat, maka suasana politik yang ada di negara ini tidak stabil. Kesannya kita dapat lihat bahawa betapa ramai pelabur asing yang telah meninggalkan Malaysia. Salahudin menambah lihat sahaja di Indonesia sekarang, begitu banyak syarikat-syarikat gergasi yang menyertai pelaburan di sana, semuanya kerana kestabilan politik dan kejituan kepimpinan yang ada.
Oleh itu, Salahudin menyatakan bahawa pembentangan RUU ini adalah permulaan kepada proses membentuk suasan politik yang stabil berdasarkan prinsip demokrasi dan bukannya untuk kepentingan diri. Tambah bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu lagi, sebelum ini beliau sempat bertemu dengan diplomat Indonesia, kata diplomat tersebut, sejak Presiden Jokowi menjawat jawatan tersebut, hampir 500 orang bekas menteri, bekas tentera dan pemimpin politik dimasukkan ke dalam penjara. Maka itu isyarat jelas bahawa Indonesia tidak akan bersama dengan pemimpin korupsi, oleh itu pelabur datang untuk menyertai Indonesia.
Ahli Parlimen Pulai itu berharap, dengan adanya RUU ini, Malaysia akan kembali menjadi negara yang di yakini pelabur asing. Sebelum itu, Salahudin sempat memetik kisah P.Ramlee dalam filem 3 Abdul, dimana dalam filem tersebut, adanya situasi dimana seorang menjual hambanya kepada Abdul Wahub. Maka keuntungan beliau menjual hamba lebih besar berbanding menjual unta. Begitulah situasi sekarang dimana rakyat melihat pemimpin politik dijual beli tanpa segan silu hanya semata-mata kerana keuntungan peribadi. – Selangor Today