Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyatakan perasaan terkejutnya apabila Perdana Menteri Malaysia mengumumkan berkaitan pelaksanaan dasar gaji minimum dalam program parti politik. Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaacob mengumumkan berkaitan penguatkuasaan dasar gaji minimum bermula 1 Mei 2022 semasa membuat ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2021 di PWTC hujung minggu lalu.
Semasa membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Akta Kerja 1955 pada Isnin menyatakan bahawa sebagai Perdana Menteri untuk Malaysia, Yang Berhormat Bera perlu membuat pengumuman ini dalam acara rasmi kerajaan bukannya di program UMNO. Seolah-olah Yang Berhormat Bera hanya Perdana Menteri buat ahli UMNO sahaja. Seterusnya Nurul Izzah menambah, memandangkan gaji minimum ini akan dilaksanakan setelah pandemik melanda, pastinya nila gaji minimum itu tidak berbaloi waktu sekarang kerana nilai RM 1,500 yang dicadangkan adalah 2 tahun sebelum pandemik melanda yang juga dalam manifesto Pakatan Harapan. Dengan kenaikan kos sekarang, maka nilai yang dicadangkan harus dipertimbangkan semula.
Seterusnya, Naib Presiden KEADILAN itu, mahu sebuah akta baru yang memfokuskan kepada proses mengawal selia syarikat gig yang merupakan majikan kepada ekonomi gig. Akhirnya Nurul Izzah mengkritik pindaan akta ini apabila memperuntukkan anti-diskriminasi dalam RUU ini tidak memadai kerana dilihat tidak secara jelas menakrif ‘diskriminasi’ sama ada diskriminasi langsung atau tidak langsung.