Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (UNISEL), Dr. Hasan Bahrom menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merencanakan semula sistem pendidikan negara mengikut acuan yang sesuai dengan keadaan semasa. Kata beliau, kaedah pendidikan sekarang masih belum sempurna untuk melahirkan kemenjadian murid yang mampan sahsiah dan akhlak. Beliau menambah, apalah gunanya dasar Sekolah Sejehtera diperkenalkan namun tidak mampu menjalinkan penghayatannya dengan falsafah pendidikan negara yang dibina pada tahun 1984.
Ahli Parlimen Tampin itu menyatakan kerisauannya jika setiap perubahan yang dilakukan akan menambah beban guru terutamanya pada beban yang bukan hakiki seperti pengkeranian dan tugas-tugas khas. Beliau mengingatkan KPM semasa membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen tahun ini , bahawa jika sistem pendidikan tidak dicermati dengan lebih baik, disusun atur dengan teliti dan tuntas, sudah pasti hasrat atau tujuan pendidikan untuk melahirkan segolongan insan kamil dan syamil tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional itu lagi mahu sistem pendidikan direncanakan berasaskan manusia dan kemanusiaan, tidak lagi berpaksikan peperiksaan semata-mata. Tidak gunanya adanya nilai selamat, seronok, sihat dan empati seperti dalam Dasar Sekolah Sejahtera namun murid terbeban dengan buku-buku yang banyak untuk dibawa ke sekolah. Ia semata-mata kerana mahu memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan. Natijahnya, nilai keseronokan semasa perkembangan murid terbantut.