Meniti perjalanan Kerajaan Perpaduan yang dilihat berliku-liku namun kukuh amatlah menggusarkan. Hampir dua tahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, satu demi satu cabaran yang muncul menguji kekuatan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Percaya atau tidak, kerajaan masih berjaya menghadapinya tanpa mengubah sebarang situasi politik negara dalam tempoh hampir dua tahun ini.
Gandingan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gagasan Rakyat Sabah dan Warisan telah mengukuhkan kelangsungan Kerajaan Perpaduan menjalankan amanahnya sebagai pemerintah Malaysia dari hari ke hari. Ia ramuan yang cukup ampuh untuk mengembalikan arah tuju Malaysia setelah tersasar akibat ketidakstabilan politik dan kelumpuhan ekonomi pasca Covid-19.
Namun Pilihan Raya Kecil diadakan hampir setiap bulan, baik kerana kematian penyandangnya mahupun berlaku kekosongan akibat kesan lompat parti. Dari setiap PRK kerajaan dapat mengukur sejauh mana sokongan rakyat kepada kerajaan mengikut pelbagai segmen. Antara yang menggusarkan adalah sokongan pengundi melayu yang beragama Islam.
Dalam Kerajaan Perpaduan UMNO lah sebagai sebuah parti melayu diharapkan mampu menawan hati pengundi melayu untuk menyokong kerajaan. Manakala Parti AMANAH Negara merupakan organisasi yang dilihat sesuai dan sepatutnya menguasai undi melayu yang lebih condong ke arah Islamisme. Mahu tidak mahu, kedua-dua parti haruslah mempunyai strategi untuk menawan keyakinan rakyat melayu Islam kepada mereka, sama seperti bagaimana MIC dan MCA perlu mendapat semula kepercayaan kaum india dan cina.
AMANAH merupakan parti yang mendapat tuah dalam dekad ini apabila parti yang baru tertubuh selama 9 tahun berjaya menjadi kerajaan setelah dua kali PRU diadakan. Atas percaturan yang tepat, AMANAH diberi tempat dalam kerajaan selepas PRU ke-14 dan 15. Namun, ledakan fahaman agama berjalur keras, telah melumpuhkan usaha AMANAH untuk mempengaruhi umat Islam di Malaysia untuk menyakini kepimpinan mereka. Atas faktor politik, AMANAH terlambat membina perkaderan dan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempersepsikan AMANAH merupakan parti Islam.
Melalui Projek AMANAH atau ProAMANAH yang dilancarkan beberapa bulan yang lalu, adalah didapati AMANAH sudah bersedia melakukan perubahan, dan sedar akan keperluan sesuatu anjakan paradigma dilakukan untuk meletakkan AMANAH setanding KEADILAN, DAP dan UPKO didalam PH. Namun, anjakan bagaimanakah yang AMANAH akan lakukan? Laluan manakah yang AMANAH akan pilih bagi mengisi kelompongan segmen Islamisme dalam Kerajaan Perpaduan?
Pastinya para pemikir AMANAH sedang melumatkan idea dan cadangan pelbagai untuk menyusun kembali perubahan tersebut. Memandangkan juga pimpinan AMANAH mensasarkan kesemua perincian untuk membangunkan AMANAH dalam ProAMANAH akan dibentangkan sempena ulang tahun penubuhan AMANAH 16 September ini.
Harus disedari, keberadaan AMANAH dalam Pakatan Harapan satu ketika dahulu dan kini untuk mengisi segmentasi pengundi Islamisme yang ditinggalkan oleh PAS. Maka nilai dan perjuangan yang dipersepsikan oleh AMANAH tidak boleh lari dari Islamisme. Betapa ketakutan yang ada sekalipun atas tersasarnya kefahaman ahli PAS kepada perjuangan Islam ala PAS, AMANAH tidak boleh meningkalkan elemen Islam itu begitu sahaja. Sebaliknya membawa naratif Islam dengan pendekatan mahupun strategi yang lebih sesuai dalam konteks Malaysia.
Apakah AMANAH tidak memerlukan perkaderan? Apakah AMANAH harus menghilangkan jati diri umat Islam demi menjauhkan diri dari bersikap seperti PAS? Tidak sama sekali, kerana perjuangan Islam itu wajar dikekalkan dalam AMANAH namun pembawakan dan inti perjuangan yang bakal dilihat oleh ahli dan rakyat yang menyokong AMANAH harus berbeza dengan PAS. Utamanya AMANAH mesti berlegar kepada isu-isu agama Islam. Jangan dilihat ketinggalan walau ia bukan satu yang menyenangkan. AMANAH wajar menjadi jurubicara umat Islam. Sebagaimana UMNO menjadi jurucakap melayu, DAP menjadi pelopor isu bukan melayu, AMANAH juga harus berperanan besar dalam perjalanan umat Islam.
Walaupun AMANAH tidak diberikan peranan mengetuai Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam seperti era kerajaan PH 1.0 dahulu, tetapi ia tidak sepatutnya merencatkan perjuangan AMANAH mengetengahkan isu-isu keislaman di Malaysia memandangkan AMANAH mempunyai tiga ahli Dewan Negara, lapan ahli Dewan Rakyat dan 12 ahli Dewan Undangan Negeri. Posisi yang mereka ada boleh dijadikan platform untuk mereka berperanan sebagai jurubicara umat Islam dengan lebih baik, berkesan dan menonjol.
Adapun pendekatan isu Islam yang dibawa mestilah mengetengahkan aspek kesederhanaan dan berpaksikan Perlembagaan Malaysia. Itu yang membezakan antara AMANAH dan PAS atau parti yang lain. Tekad AMANAH mahu Islam tertegak dengan subur atas asas Perlembagaan Persekutuan. AMANAH memilih pendekatan yang menguntungkan umat Islam tanpa merobek sebarang tiang seri negara yang telah dibina sejak merdeka. Dengan cara itu, masyarakat Malaysia terus kekal utuh sebagai satu negara bangsa yang aman dan damai serta umat Islamnya lebih cemerlang dan sejahtera.
AMANAH perlu buktikan bahawa pembentukan Parti AMANAH bukan hanya semata-mata untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebaliknya visi yang lebih besar pimpinan-pimpinan asal utama AMANAH yang menubuhkannya mahu menghantar mesej dan didikan kepada umat Islam di Malaysia, adanya corak yang lebih baik, lebih sesuai dan lebih bermakna yang boleh dibawa untuk memperkukuhkan umat Islam di Malaysia.
Bertitik tolak daripada Pidato Presiden AMANAH, Hj Mohamad bin Sabu sempena Konvensyen AMANAH Nasional tahun 2022 bertemakan ‘AMANAH Paksi Kebangkitan Ummah’, wajar AMANAH mendampingi perihal-perihal umat Islam di Malaysia agar AMANAH mampu dipersepsikan sebagai Parti Islam dalam kerajaan. Pidato Presiden bukan hanya sekadar pidato, ia merupakan arah tuju yang digariskan oleh kepimpinan AMANAH untuk dibawa oleh semua ahli dalam tempoh setahun. Amat malang jika intipati pidatonya tersadai begitu sahaja tanpa komitmen dan pembentukan cara kerja ahli dan pimpinan dalam tempoh setahun.
Mungkin jika didalam PAS, setelah muktamar selesai program Munaqasyah diadakan setiap negeri antara tujuannya adalah untuk memperincikan setiap buah butir ucapan dasar presiden mereka untuk digerakkan oleh ahli. AMANAH juga perlu diadakan program semacam itu, demi memastikan pidato Presiden AMANAH yang sarat dengan limpahan peringatan sejarah, gesaan untuk bangkit dan pasakkan wawasannya dibicarakan dan diperbincangkan serta dihayati oleh ahlinya dalam tempoh masa yang panjang.
Besar harapannya untuk melihat AMANAH dapat merangkul keyakinan masyarakat melayu Islam di Malaysia ini, kerana pendekatan yang AMANAH bawa sahaja menepati dan seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI cetusan Perdana Menteri. Berbaki beberapa tahun lagi, AMANAH mampu lakukan perubahan.