Perikatan Nasional (PN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, ia selaras dengan pendirian partinya yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri di Sabah.
Beliau berkata, SAPP masih menjadi ahli PN, namun pendirian itu kekal dan beliau sudah menyuarakannya kepada kepimpinan PN agar tidak meletak calon pada PRN17 nanti.
Katanya, SAPP pula akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana ia juga adalah komponen dalam gabungan parti tempatan Sabah itu.
“Kita masih ‘member’ (ahli) PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya negeri.
“Mereka memang marah, Ronald Kiandee (Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP.
“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN.
“Kali inipun (PRN17) kita sudah maklumkan akan bertanding di bawah GRS, menggunakan lambang GRS,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024, hari ini.
Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik diminta mengulas mengenai hubungan SAPP dengan PN dan halatujunya pada PRN17 nanti.
SAPP adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang tidak menarik diri daripada PN selepas kejatuhan kerajaan pimpinan gabungan itu sebelum ini.
Mengenai pendirian SAPP yang menyatakan parti dari Semenanjung yang tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri, beliau berkata perkara itu sudah lama disuarakan. – Berita Harian