SelangorToday

PARTI NYAMUK DAKWAAN HADI AWANG KINI BERUSIA 9 TAHUN

Hari ini selain penubuhan Malaysia yang diraikan oleh rakyat Malaysia, pemain politik turut menerima satu peristiwa menarik pada tarikh tersebut 9 tahun yang lalu. Beberapa bekas pimpinan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) yang disingkirkan dari pucuk pimpinan parti tersebut secara terancang telah pun menubuhkan sebuah parti baru. 

Bertitik-tolak daripada himpunan bekas pimpinan tersebut di Simpang Jeram pada bulan puasa tahun 2015, mereka menubuhkan Parti Amanah Negara(AMANAH) hasil pengambil-alihan daripada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia. Meskipun ia dipandang sini oleh bekas pimpinan mereka Hj Abdul Hadi Awang bahawa parti nyamuk itu akan bertahan selama beberapa bulan sahaja, namun kini AMANAH telah pun mencecah usia 9 tahun. Lebih membanggakan, dua kali AMANAH menyertai Pilihan Raya Umum, 2 kali juga AMANAH berjaya mendominasi PRU tersebut melalui gabungan Pakatan Harapan.

Sejak penubuhan AMANAH, parti itu turut diuji sama ada dengan kuasa sebagai pemerintah mahupun tekanan sebagai pembangkang sebelum PRU 2018 dan selepas Langkh Sheraton. Tetapi parti tersebut kekal teguh dalam persada politik arus perdana berkat kebijaksanaan mereka dalam melakuka kerjasama politik. 

AMANAH kehilangan pimpinan yang menubuhkannya, AMANAH keguguran sebuah bintang berwatak negarawan dan berjiwa rakyat. Ketika memikul amanah sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN), Salahuddin Ayub pergi menemui penciptanya. Sementara peninggalannya telah memberi kesan mendalam buat AMANAH baik inisiatif RAHMAHnya sebagai gagasan utama almarhum meringankan kos sara hidup rakyat mahupun sentuhannya sebagai pemimpin rakyat yang dikenang Malaysia.

Sebagai parti bernuansa Islam, AMANAH melalui Naib Presiden AMANAH ketika itu, Dr. Mujahid Yusof Rawa diberi kepercayaan sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam dibawah Jabatan Perdana Menteri. Melalui peranannya sebagai penyelaras Hal Agama antara Negeri-Neger, Dr. Mujahid juga menggagaskan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ sebagai asas atur kerja, kepimpinan dan perjalanan hidup beragama di Malaysia. Istilah yang tinggi namun melebar manfaatnya buat umat Islam itu agak janggal bagi orang melayu Islam, tetapi Dr. Mujahid dan AMANAH percaya gagasan itulah yang paling serasi dengan konsep  negara berperlembagaan dan masayarakat majmuk di Malaysia.

Atas keyakinan itu, gagasan itu turut mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu(MRR) dan terus diolah dalam pentadbiran kerajaan. Namun peranannya tidak panjang akibat jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi rakyat sangat mengingati akan gagasan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’. 

AMANAH pernah mempunyai ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri melebihi 50 orang meski berumur baru 9 tahun. Pencapaian ini bukanlah satu gambaran yang ingin diangkuhkan, sebaliknya strategi dan keyakinan pelopor parti menutup mulut mereka yang memperlehkehkan AMANAH. 

Bagi sayap-sayapnya pula, Wanita AMANAH telah pun mempunyai dua peneraju iaitu Dr. Siti Mariah dan kini Aiman Athirah Sabu. Manakala Pemudanya telah diterajui oleh empat tokoh temasuk kini Hasbie Muda. Wanita Muda AMANAH pula telah mempunyai tiga ketua yang pernah menerajui mereka.

Menyebut figura bernama Mohamad Sabu, sebagai wajah utama parti AMANAH, peranan beliau dalam mengemudi serta mencatur perjalanan AMANAH tidak boleh dikesampingkan. Setelah menemui jalan buntu untuk menerima kehadiran Tun Mahathir Mohamad dan PPBM dalam Pakatan Harapan dimana sejarah lalu menyebabkan Pakatan Harapan tidak mudah menerima mereka. AMANAH lah yang memberi ruang kepada mereka serta merintis jalan mudah untuk bekerjasama lalu berjaya menumbangkan BN. Jika bukan kerana keterbukaan itu, pastinya situasi politik kini berbeza. 

Disamping itu, semangat setiakawan Mohamad Sabu dan AMANAH telah memastikan gabungan pembangkang yang ditubuhkan pada tahun 1999 melalui Barisan Alternatif kekal bertahan menjadi Pakatan Harapan. Kesetiaan itu terbukti jelas sehingga menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Justeru peranan Mohamad Sabu ini telah memberi manfaat besar buat AMANAH baik sebagai kerajaan mahupun parti komponen PH kerana Mohamad sendiri dilantik sebagai Menteri Kanan(Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan Timbalan Pengerusi Majlis Presiden PH. Disinilah satu faktor yang dilihat berjaya mengekalkan AMANAH dalam persada politik.

Walaubagaimana pun memperlekehkan AMANAH satu perkara yang janggal kerana mereka yang berada dalam pucuk pimpinan AMANAH adalah mereka yang pernah menggemilangkan PAS. PAS zaman Ustaz Fadzil Noor berada dipuncak masyarakat, kepimpinan PAS mewakili kepimpinan massa.Oleh itu mereka yang bersama dalam PAS itu majoritinya ada dalam AMANAH.

Anak Ustaz Fadzil merupakan Setiausaha Agung AMANAH. Setiausaha Politik Ustaz Fadzil adalah Naib Presiden AMANAH. Anak Presiden PAS dan Mursyidul AM PAS yang pertama, Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden AMANAH. Mohamad Sabu sendiri dan Mahfuz yang ketika itu Ketua Pemuda kepada Ustaz Fadzil kini pimpinan utama AMANAH.

Kesimpulannya, AMANAH telah diuji dengan pelbagai cabaran mengukuhkannya dan berjaya mengekalkan keutuhannya. Oleh itu peluang yang ada hari ini sebagai kerajaan harus dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan isi perjuangan AMANAH itu wujud dan berhasil. 

Exit mobile version