SelangorToday

Parti Politik Berasaskan Islam di Sabah, Mampukah Dapat Sokongan?

[ANALISIS] Sabah, sebagai sebuah negeri berbilang kaum dan agama di Malaysia, mempunyai sejarah politik yang unik dan dinamik. Dalam konteks politik berteraskan Islam, beberapa parti telah muncul dan cuba menempatkan diri dalam landskap politik negeri ini. Antara parti-parti yang menonjol adalah United Sabah National Organisation (USNO) versi lama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Ketiga-tiga parti ini berbeza dari segi pendekatan Islam, peranan politik, dan penerimaan rakyat Sabah. Rencana ini akan menghuraikan sejarah, pendekatan keislaman serta kedudukan semasa parti-parti ini di Sabah.

1. USNO: Pelopor Politik Islam di Sabah

USNO ditubuhkan pada tahun 1961 oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, tidak lama sebelum Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963. Meskipun parti ini diasaskan sebagai sebuah wadah perjuangan berbilang kaum, namun ia dinomisai Bumiputera Islam Sabah, dan memainkan peranan penting dalam menyatukan umat Islam serta memperkukuh kedudukan mereka dalam sistem politik baharu Malaysia.

Tun Datu Mustapha datu Harun, Presiden USNO Pertama

Hasil gabungan dengan UPKO dan SCA, USNO menjadi parti pemerintah Sabah dari tahun 1967 hingga 1976, dan membawa dasar-dasar Islamisasi yang signifikan dalam tempoh pemerintahannya. Namun, parti ini mula merosot selepas kekalahanya kepada BERJAYA dan akhirnya dibubarkan pada tahun 1996. Ramai pemimpinnya termasuk Datu Mustapha, Sakaran Dandai, Shafie Apda dan Hajiji Noor menyertai UMNO apabila parti itu melebarkan sayap ke Sabah.

2. PAS: Politik Islam Konservatif

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah parti Islam konservatif yang ditubuhkan pada tahun 1951 di Semenanjung Malaysia. PAS membawa pendekatan fundamentalis dan berjuang untuk menegakkan negara Islam serta pelaksanaan hukum syariah. Di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, PAS mempunyai pengaruh yang besar dan kukuh. Namun, di Sabah, PAS menghadapi cabaran besar. Sejak mengembangkan sayapnya ke negeri itu pada 1990-an, PAS belum pernah memenangi sebarang kerusi DUN atau Parlimen di Sabah. Pendekatan politiknya yang bersifat konservatif dan imej sebagai parti dari Semenanjung menyukarkan penerimaan dalam kalangan rakyat Sabah yang lebih cenderung kepada parti-parti tempatan dan bersifat moderat.

Aminuddin Aling, Bekas Pesuruhjaya PAS Sabah

Sebenarnya momentum sokongan kepada Pas di Sabah terus memuncak sejak golongan moderat Islamis dalam PAS memainkan peranan utama dalam kepimpinan PAS serta kerjasama erat PAS dalam Pakatan Rakyat. Namun setelah golongan moderat Islamis keluar dari PAS serta meninggalkan PR, PAS kembali sukar menembusi sokongan rakyat Sabah. Peluang yang ada setelah PAS bersama kerajaan Perikatan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan negeri bersama BN pada tahun 2020. Seorang wakil dari PAS berjaya dilantik sebagai ADUN Lantikan.

3. AMANAH: Islam Progresif dan Harapan Reformasi

Parti Amanah Negara (AMANAH) pula merupakan parti berteraskan Islam yang muncul daripada kumpulan progresif dalam PAS. Ditubuhkan pada tahun 2015, AMANAH membawa pendekatan Islam yang inklusif, demokratik dan berteraskan nilai rahmatan lil ‘alamin. Sebagai menjunjung nilai dalam Islam yang menerima kepelbagaian, AMANAH bertindak atas paksi yang jelas untuk meraikan kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia. Malah AMANAH bersikap terbuka dalam kewujudan masyarakat majmuk demi merintis jalan yang lebih tenang untuk menyebarkan kebaikan buat semua.

Hamzah Abdullah, Pengerusi AMANAH Sabah yang pertama

Di Sabah, AMANAH mewujudkan cawangan dan menyertai kerjasama politik melalui gabungan Pakatan Harapan (PH). Cabaran AMANAH ketika ini adalah memintas parti-parti lain termasuk parti tempatan Sabah dalam meraih sokongan pengundi di Sabah memandangkan usia AMANAH yang masih muda.  Pada PRN 2020, AMANAH hampir berjaya menawan kerusi DUN Tanjung Keramat melalui logo WARISAN. Namun calon AMANAH Rosdy Wasli  kekurangan 1,337 undi dibelakang calon BN.

4. Perbandingan Pendekatan Keislaman dan Peranan Politik

USNO, PAS dan AMANAH membawa pendekatan keislaman yang berbeza serta berdiri dalam politik atas faktor yang berbeza juga. USNO satu ketika dahulu bukan hanya menjadi parti yang ditubuhkan atas tindak balas kepada kaum peribumi lain menubuhkan parti seperti UPKO sahaja, namun ia menjadikan Islam sebagai identiti politik etnik Bumiputera Sabah setelah mereka tumbang ditangan BERJAYA sebagai parti berbilang kaum. Tambahan lagi semasa Parti Bersatu Sabah(PBS) berjaya mengemudi Sabah era 80an, USNO disandarkan sebagai payung kepada kelompok melayu Islam kerana sentimen kerajaan PBS yang condong kepada agama Kristian.

PAS pula yang sukar menembusi sokongan di Sabah sebelum 80an telah mula bertapak di Sabah selepas itu. Bagaimana pun PAS membawa pendekatan konservatif dan menekankan pelaksanaan syariah secara menyeluruh yang menyebabkan PAS sukar diterima oleh kelompok melayu Islam sendiri di Sabah. Hal ini kerana masyarakat di Sabah tidak sama dengan di semenanjung, meskipun orang Islam sedar akan kedudukan mereka, tetapi pembawaan mereka lebih menekankan soal keharmonian kaum. Justeru elemen konservatif dan berjalur kanan tidak diterima di Sabah. Keputusan PAS bertanding atas logo PN di Sabah merukan strategi politik yang tepat, bagaimana pun adakah memilih PN berjaya meletakkan kemenangan buat PAS kali pertama dalam PRN akan datang sedangkan PN tidak dianggotai lagi oleh parti tempatan Sabah sebagai wakil dalam pakatan.

AMANAH pula yang menampilkan pendekatan Islam progresif yang lebih sesuai dengan konteks masyarakat majmuk di Sabah. Pimpinan AMANAH merupakan mereka yang berusaha meningkatkan momentum PAS di Sabah satu ketika dahulu sebab itu AMANAH berjaya ditubuhkan di Sabah mesikpun AMANAH baru sahaja diwujudkan. AMANAH dilihat lebih sesuai dipilih mewakili rakyat Sabah di tempat-tempat tertentu seperti majori melayu Islam Sabah memandangkan AMANAH tidak meletakkan simbolik Islam sebagai perjuangan utama, tetapi nilai dan tindakan yang memberi impak positif kepada masyarakat melayu Islam lebih diutamakan. Matlamat syariat yang disebut Maqasid Syariah menjadi kompas utama AMANAH dalam menyantuni rakyat dan membawa Gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai payung AMANAH berhadapan dengan masyarakat bukan Islam dan kepelbagaian suku.

Kesimpulan

Sejarah dan perkembangan parti-parti berteraskan Islam di Sabah mencerminkan cabaran integrasi antara aspirasi Islam dan realiti sosial-politik negeri itu. USNO telah mencorakkan sejarah awal politik Islam tempatan tetapi telah tersisih oleh arus politik moden. PAS dan AMANAH pula masih berjuang untuk diterima dalam landskap politik Sabah yang lebih menekankan autonomi, kepelbagaian etnik dan parti tempatan. Masa depan mereka di Sabah bergantung kepada keupayaan mereka menterjemahkan Islam yang diperjuangkan, kebijaksanaan strategi politik, pendekatan budaya setempat, dan kerjasama dengan parti-parti tempatan yang lebih berakar umbi.

Exit mobile version