SelangorToday

PAS AKAN TINGGALKAN BERSATU TIDAK LAMA LAGI?

Kegagalan Perikatan Nasional(PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan secara mendominasi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 telah meretakkan kesepaduan antara PAS dan BERSATU. Namun cita-cita mereka untuk melakukan tebuk atap buat kali kedua bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah mengekalkan ikatan mereka.

Hari demi hari, bulan demi bulan, PN gagal menumbangkan kerajaan Anwar malah sokongan kepada kerajaan yang turut dianggotai oleh BN, GPS dan GRS serta WARISAN itu mula mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat. Satu demi satu kegagalan mereka dalam Pilihan Raya Kecil menemui kemuncaknya apabila kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh PAS melalui BERSATU di DUN Nenggiri berjaya di rampas oleh parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan iaitu BN. 

Kejayaan BN dan perpaduan menawan kerusi DUN Nenggiri daripada PN

Sejak itu, tiada lagi kesepaduan yang jelas hendak dipaparkan baik PAS mahupun BERSATU untuk bersama dalam satu perikatan. PAS yang mendapat keuntungan paling besar dalam PRU sebelum ini sudah pun berkira-kira untuk meninggalkan perikatan tersebut bagi meneruskan kelangsungan politiknya yang mendatangkan manfaat buat mereka. 

Ketika menubuhkan kumpulan bersama antara kerajaan negeri pimpinan PAS, Muhyiddin selaku Pengerusi PN diketepikan dan menonjolkan bekas Perdana Menteri yang dilabel sendiri oleh Hj Abdul Hadi Awang sebagai seorang yang tidak layak memimpin Malaysia lagi ketika kempen PRU ke-14. Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Penasihat kumpulan empat negeri hijau tersebut sedangkan sebelum ini dibawah pemerintahan tun buat kali pertamalah negeri pimpinan PAS di Kelantan dan Terengganu dipinggirkan. 

SG4 yang dibentuk oleh PAS melantik Tun Dr. Mahathir sebagai Penasihat

PAS telah membentuk haluan mandirinya sebagai persediaan untuk berpisah dengan BERSATU. Namun persoalannya, adakah PAS akan meninggalkan BERSATU?Jika benar, bilakah masanya PAS akan membawa haluannya sendiri? Mengapa PAS tidak meninggalkan BERSATU sekarang juga setelah PN kalah bergaya di DUN Mahkota? PAS merupakan sebuah parti politik yang mahir memanipulasikan situasi untuk keuntungannya. 

Dulu pun, Ustaz Fadzil Noor mempunyai kepakaran tersebut apabila menggerakkan momentum rakyat yang simpati bersama Anwar yang baru dipecat, lantas PAS mengetuai blok pembangkang di Dewan Rakyat. Sama dengan kelakuan PAS hari ini, cuma bezanya strategi PAS yang dahulu dengan kejujuran dan memihak kepada keuntungan rakyat, sebaliknya, hari ini PAS berstrategi dengan seribu penipuan malah jika ia memudaratkan rakyat, PAS akan sokong asalkan mereka menerima manfaat. 

Ustaz Fadzil Noor ketika berkempen PRK Indera Kayangan, Perlis untuk memenangkan calon BA- dari KEADILAN

Justeru itu, adalah sebab atau helahnya mengapa PAS tidak meninggalkan BERSATU buat ketika ini. Bagi PAS manfaat berada dalam PN belum diterima sepenuhnya meskipun PAS telah boleh berdiri sendiri dengan yakinnya. 

Umum mengetahui bahawa PAS diyakini dan mendapat sokongan kuat atas lambang PAS hanyalah di Kelantan,Terengganu dan sebahagian di Kedah dan Perlis. Namun di negeri lain, PAS mendapat sokongan pengundi melayu pertengahan, melayu atas pagar, bukan melayu yang terbuka apabila PAS menggunakan logo PN. 

Begitu jugalah sokongan itu buat PAS di Sabah dan Sarawak. Dua wilayah borneo itu mempunyai struktur pemikiran yang berbeza dengan semenanjung. Mereka tidak terpikat dengan permainan mahupun canduan agama yang sering dimainkan oleh agamawan yang bergelar politikus. Keharmonian antara Islam dan bukan Islam di sana lebih menyerlah dan sepakat. Oleh itu PAS tidak mempunyai ruang untuk membawa pendekatannya di semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Dr. Aliakbar Gulasan, ADUN Lantikan Sabah daripada PAS

Memandangkan kurang dari setahun setengah lagi, DUN Sabah bakal dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-16, maka PAS perlu kekal bersama PN buat sementara waktu bagi memastikan PAS bertanding menggunakan logo PN dengan harapan PAS berjaya memenangi kerusi sulungnya di Sabah. Buat masa ini, PAS mempunyai seorang wakil rakyatnya di Sabah atas kapasiti ADUN Lantikan. 

Sebelum ini PN Sabah dibentuk melalui BERSATU Sabah dan PAS Sabah. PN memenangi kurang daripada 20 kerusi. Namun kesepakatannnya bersama BN Sabah dan PBS serta STAR, PN berjaya menubuhkan kerajaan negeri. Tetapi kini PN Sabah terburai apabila ADUN BERSATU meninggalkan PN dan menubuhkan GRS serta menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tinggallah PAS dan saki-baki BERSATU sahaja dalam PN Sabah.

PAS telah memulakan persediaannya menghadapi PRN Sabah

Dengan keadaan itu, PAS diyakini akan bertanding lebih banyak kerusi DUN Sabah setelah pembahagiannya dengan BERSATU kelak. PAS mengharapkan melalui panji PN, PAS akan menembusi wilayah tersebut dalam PRN edisi kali ini. Jika PAS menang di Sabah, secara formalitinya PAS boleh sahaja kekal bersama PN bagi mengelakkan kerusi itu perlu dikosongkan kesan daripada undang-undang lompat parti di Sabah. Tetapi PAS akan bergerak secara bersendirian mengikut pendirian PAS semenanjung.

Sebaliknya jika PAS kalah melalui PN di Sabah, PAS boleh meninggalkan BERSATU seperti yang dirancang kerana jelas PN tidak berupaya lagi mendatangkan manfaat buat PAS. PAS akan mencatur politiknya secara bersendirian untuk berhadapan PRN di Melaka dan Johor kelak. Petunjuk di DUN Mahkota juga menyedarkan PAS bahawa mereka tidak akan rugi apa-apa jika meninggalkan BERSATU kelak. Sebaliknya mempunyai kebarangkalian untuk mendapat keuntungan apabila bersendirian dalam versi PAS kali ini.

Mampukah PAS dan BERSATU mengekalkan persahabatan mereka? Rekodnya PAS tidak pernah kekal dalam pakatan melebihi 1 dekad.

Kesimpulannya, PRN Sabah mungkin akan menjadi asas sama ada PAS mahu meneruskan rancangannya atau menangguhkan seketika bagi memberi laluan di Sabah. Arus yang kuat kepada Kerajaan Perpaduan juga akan menjadi pertimbangan PAS untuk melangkah ke hadapan. Apa yang pasti, BERSATU dan PN telah dianggap sebagai formaliti sahaja buat PAS. 

Exit mobile version