SelangorToday

PAS belum ‘move on’, mahu nilai semula hubungan dengan BERSATU

PAS dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menilai perkembangan politik di Perlis, termasuk implikasinya terhadap kerjasama parti itu dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata, setakat ini isu berkenaan belum dibincangkan secara rasmi memandangkan pelantikan Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar baharu masih terlalu awal.

“Saya percaya mungkin akan ada mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan apa yang berlaku di Perlis. Tindakan susulan parti akan diputuskan kemudian,” katanya ketika diminta mengulas sama ada PAS akan menilai semula hubungan dengan Bersatu susulan kemelut politik negeri itu.

Kemelut politik Perlis tercetus apabila lapan Adun Perikatan Nasional menyerahkan akuan berkanun (SD) menyatakan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Shukri Ramli daripada PAS. Daripada jumlah itu, tiga adalah Adun PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), manakala lima lagi merupakan Adun Bersatu.

Lima Adun Bersatu yang dikaitkan dengan penarikan sokongan tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kangar), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Penarikan sokongan itu dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dikuasai PN, sebelum beliau meletakkan jawatan pada Khamis lalu atas faktor kesihatan. Abu Bakar kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12.

Mengulas lanjut, Amar mempersoalkan bagaimana kepimpinan Bersatu tidak mengetahui tindakan lima Adunnya yang menarik sokongan terhadap Shukri, sedangkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan tiada arahan dikeluarkan oleh parti.

“Kalau betul tidak ada arahan, maknanya lima orang ini telah melanggar mandat parti,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini berkata Bersatu hanya mengemukakan nama calon menteri besar selepas menerima titah daripada Istana Perlis.

Amar turut menegaskan PAS tidak dapat menerima tindakan yang disifatkannya sebagai tidak beretika dalam persahabatan politik.

“Itu bukan setia kawan. Kita tak ambil kesempatan atas masalah kawan. Jangan tengok kawan lemas, biar lemas. Kita kena tolong,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin PAS meluahkan kekecewaan secara terbuka menerusi media sosial selepas pelantikan Abu Bakar. Amar menyifatkan perkara itu sebagai reaksi biasa dan terpulang kepada orang ramai untuk membuat tafsiran masing-masing.

“Baik luahkan daripada simpan dalam hati. Kalau simpan, lagi banyak masalah,” katanya, merujuk kepada hantaran Facebook beliau bertajuk ‘Apakah retak menanti belah’.

Bendahari PAS, Iskandar Samad pula menyerahkan kepada umum untuk menilai maksud hantaran beliau yang menyentuh soal ‘pengkhianatan’ dan ‘warna sebenar’, tidak lama selepas majlis angkat sumpah menteri besar Perlis.

Menerusi hantaran berbahasa Inggeris, Iskandar menulis: “I am not sad but glad coz now we know their true colours. Betrayal must not go unpunished.”

Namun, beliau menegaskan kenyataan itu bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau parti tertentu.

“Saya buat secara umum. Boleh jadi benda lain. Awak boleh terus berteka-teki,” katanya kepada FMT, sambil enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut memuat naik hantaran bernada sinis mengenai persahabatan politik.

“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” katanya.

Perkembangan itu mencerminkan ketegangan yang masih berlarutan dalam hubungan PAS dan Bersatu, dengan kepimpinan PAS dilihat masih belum ‘move on’ daripada krisis politik yang melanda Perlis.

Exit mobile version