KANGAR: PAS mengemukakan dua nama calon Menteri Besar Perlis kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli, semalam.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pencalonan itu dibuat berdasarkan kedudukan PAS yang masih memiliki jumlah kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berbanding rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN).
“PAS mempunyai enam kerusi DUN, manakala BERSATU lima kerusi. Justeru, PAS berhak mengemukakan calon Menteri Besar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, dua nama berkenaan dikemukakan untuk pertimbangan Raja Perlis bagi memastikan pentadbiran negeri dapat diteruskan secara stabil dalam situasi politik semasa yang tidak menentu.
Terdahulu, BERSATU turut mengambil langkah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Perlis kepada Istana, iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan; dan ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim.
Perkembangan itu memperlihatkan persaingan terbuka antara PAS dan BERSATU dalam menentukan calon yang bakal menerajui pentadbiran negeri Perlis di bawah gabungan PN.

