Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Haron membidas sikap ‘double standard’ PAS dalam menangani isu yang ahli mereka yang terlibat dengan merendahkan institusi monarki. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, Danial berkata Pemuda AMANAH amat hargai komitmen PAS melalui Pemuda PAS Johor dan Selangor yang mengambil tindakan kepada ahli mereka yang merendahkan institusi monarki baru-baru ini. Namun Pemuda AMANAH mahu PAS bersikap adil dan tidak bertindak dua darjat apabila jelas Presiden PAS juga pernah merendahkan peranan Raja-Raja Melayu. Tambah Danial, sepatutnya PAS turut menyeru pimpinan mereka untuk terus mempertahankan institusi monarki, berbanding hanya berani menyeru kepada ahli biasa sahaja.
Kata Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga itu lagi, jelas Sultan Selangor dukacita dengan tulisan yang dilemparkan oleh Hj Abdul Hadi Awang sebelum bulan Ramadan yang lalu. Tambah Danial, PAS wajar melihat tindakan Ahli Parlimen Marang itu adakah memberi kesan dan implikasi kepada sikap dan tindakan ahli mereka. PAS juga perlu menyiasat punca disebalik tindakan ahli-ahli mereka menghina Sultan secara terbuka. Mungkin kurangnya pemahaman terhadap nulai-nilai kebudayaan dan sensitiviti terhadap institusi monarki di dalam PAS.
Dalam entri di akaun FB yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini. Beliau juga dilaporkan mendakwa, doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu itu dikenali sebagai Hezry Yasin didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.
Manakala pada 29 Februari yang lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu. Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.
Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor menyatakan PAS jangan hanya berani menyeru tindakan kepada ahli biasa sahaja, tetapi menutup mata terhadap kebiadaban pimpinan parti. Sebaliknya Pemuda PAS harus berani menegur kesilapan dan kecuaian pimpinan mereka agar kejadian ini tidak berulang lagi. – SelangorToday