Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui kedudukan parti itu tergugat pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau, ia berikutan terdapat undi majoriti di bawah 1,000 di beberapa kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Tambahnya, antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat ialah Apam Putra 348 undi, Wakaf Bharu (387), Dabong (589), Semerak (632), Melor (647) dan Kemahang (923).
“Berdasarkan pengalaman saya, jika majoriti 3,000 ia adalah stabil tetapi kalau bawah padanya, kena kerja keras lagi untuk lawan,” katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, Pas melihat peluang yang besar untuk menang di tiga DUN di Gua Musang yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).