Site icon SelangorToday

PAS Kuasai PN, tiada jawatan penting untuk Gerakan, MIPP

PN-PAS_logo

Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin didominasi oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila beberapa jawatan utama dalam struktur kepimpinan baharu gabungan itu diisi oleh pemimpin parti berkenaan.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PN yang berlangsung sebentar tadi, dengan beberapa pelantikan strategik melibatkan tokoh utama daripada PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Antara yang paling menonjol ialah pelantikan Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu. Jawatan Timbalan Setiausaha Agung pula diberikan kepada Mohamed Azmin Ali daripada BERSATU.

Selain itu, jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN diamanahkan kepada Radzi Jidin, manakala Bendahari Agung PN dipegang oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan PN, sekali gus memperkukuh penguasaan PAS dalam barisan kepimpinan utama gabungan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, PN turut memutuskan bahawa seorang wakil daripada PAS akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Perkembangan itu dilihat mencerminkan peranan PAS yang semakin dominan dalam menentukan hala tuju politik PN, khususnya dalam persiapan menghadapi landskap politik semasa serta pilihan raya akan datang.

Exit mobile version