KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan komitmennya untuk terus bersama Kerajaan Negeri Perlis namun menolak sebarang lantikan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, susulan perkembangan terkini melibatkan kepimpinan kerajaan negeri itu.
Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS Pusat telah membuat pertimbangan menyeluruh terhadap situasi semasa berkaitan Kerajaan Negeri Perlis dan Perikatan Nasional (PN), sebelum memutuskan pendirian rasmi parti.
Menurut beliau, PAS akan mengekalkan kelangsungan dan kehadirannya dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Namun, PAS tidak akan menganggotai Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
“Semua anggota Exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, PAS turut menzahirkan pendirian tegas terhadap masa depan Perikatan Nasional dengan menyatakan kesediaan untuk menerajui gabungan tersebut bagi memperkasa organisasi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
PAS juga menyeru semua pihak dalam PN agar bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku, selain mengambil langkah-langkah memperkukuh kembali keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
“PAS bersedia menerajui Perikatan Nasional demi memperkukuhkan jentera dan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang,” jelas kenyataan itu.